Soroton 2015 : Kes-kes mahkamah yang menarik perhatian awam

 

 

 

 

 

 

Kes pembunuhan Altantuya antara paling ditunggu masyarakat  membabitkan dua anggota Unit   Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar terhadap tuduhan membunuh.Sepanjang 2015 banyak kes-kes mahkamah yang dapat menarik perhatian awam dan perkembangan baru dalam sistem undang-undang yang berlaku sepanjang tahun ini.

Pada 13 Januari Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri, 38, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 43, terhadap tuduhan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati mereka bersalah membunuh wanita itu dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.

Pada 21 Januari sebuah majalah mingguan gereja Katolik, Herald, dilarang daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan apabila ia gagal dalam percubaan terakhirnya mengggunakan saluran perundangan, untuk Mahkamah Persekutuan mendengar semula permohonannya bagi kebenaran untuk merayu.

Pada 30 Mac lima lelaki termasuk dua beradik didenda RM2,500 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana merusuh semasa perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam, pada 7 Disember tahun lalu.

Pada 30 April Restoran Hameeds Corner di Seksyen 16, Shah Alam menjadi yang pertama di negara ini dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 sejak GST dilaksanakan 1 April 2015.

Pada 12 Mei kerajaan bersetuju untuk membayar RM600,000 sebagai ganti rugi kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock sebagai penyelesaian dalam saman kecuaian yang difailkan oleh keluarganya terhadap kerajaan dan 13 yang lain atas kematian Teoh, selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan saman itu.

Pada 12 Jun mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM5,000 atau tiga bulan penjara terhadap empat pelancong Barat kerana melakukan perbuatan lucah di Gunung Kinabalu.

Pada 30 Jun seorang penjual tembikai, Murad Halimmuddin, 49, dihukum penjara 18 tahun manakala anak lelakinya, Abu Daud, 25, dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan.

Pada 17 Ogos kes saman aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir terhadap presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan 12 lagi selesai selepas wakil ISMA melahirkan kekesalan menyiarkan artikel yang mengaitkan Marina sebagai dalang dalam aktiviti Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (Comango).

Pada 25 Ogos pula mahkamah Persekutuan memutuskan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah tidak berhak menerima bayaran komisen RM20 juta daripada Merong Mahawangsa Sdn Bhd untuk khidmatnya mendapatkan projek ‘Jambatan Bengkok’ di Johor Baharu.

Pada 3 September tiga rakan dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah menculik seorang budak lelaki warga Belanda, di hadapan Mont Kiara International School, tiga tahun lalu.

Pada 7 September bekas pembantu rumah Nirmala Bonat menerima ganti rugi RM349,496 bagi tuntutan sivil beliau terhadap bekas majikannya untuk kecederaan dan kesakitan yang dialami semasa diambil bekerja 11 tahun lalu berikutan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 9 September seorang arkitek Mohd Syafrien Rasid, 27, dan juruteknik Mohamad Yusoffe Ishak, 27, masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi kesalahan cuba memberi sokongan kepada kumpulan militan IS.

Pada 11 September seorang penganggur, Nazirul Abidin Thalha, 24, dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana memiliki bahan penerbitan berkaitan perlakuan pengganas.

bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku tidak   bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut di akaun facebooknya.Pada 5 Oktober bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut yang mendakwa Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai murtad di akaun Facebook milik
beliau.

Pada 8 Oktober Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Enakmen Syariah Negeri Sembilan yang menghukum lelaki berpakaian wanita tidak melanggar perlembagaan.

Trut dilaporkan pada 8 Oktober Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan kerajaan negeri untuk membatalkan perintah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengisytiharkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) negeri itu sebagai sebuah pertubuhan haram.

Pada 9 Oktober pula bekas penceramah bebas, Zulqarnain Ghaz Ab Ghani, 31, dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memasuki Syria bagi menyokong perbuatan pengganas, tahun lepas.

Manakal pada 30 Oktober seorang lelaki warga India yang menampar imam Masjid Negara semasa solat Jumaat pada 18 September, didenda RM12,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Pada 3 November seorang bakal pengantin, Azlee Md Salleh,30,terpaksa meringkuk di penjara selama sembilan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi atas tuduhan memiliki telefon bimbit yang mengandungi gambar bendera kumpulan pengganas IS.

Pada 19 November Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom memfailkan saman fitnah di Mahkamah tinggi Kuala Lumpur terhadap Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir berhubung dakwaan menggunakan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi membiayai perjalanan ke luar negara.

Pada 20 Nov Peguam Datuk V.K. Lingam yang terlibat dalam salah laku berhubung klip video berkaitan pelantikan hakim, dilarang daripada mengamalkan undang-undang berikutan keputusan Lembaga Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara yang menggugurkannya daripada jawatan itu.

Pada 24 November Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta dan dua pertuduhan berkaitan menggunakan dana syarikat.

Pada 15 Disember seorang ketua kerani perangkaan, Poziah Harun, 42, dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah melindungi suaminya, pengganas di Syria.

Pada 16 Disember Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 terhadap bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don kerana menerima rasuah untuk mempercepat kelulusan permohonan visa pekerja Bangladesh, tujuh tahun lepas.

TAGS