Sos paling lejen tahun 80-an, ini rupanya sebab sos Aminah Hassan hilang dari radar

Oleh MAISARAH AISYA

Berita palsu zaman dahulu hanya tersebar melalui perbualan sahaja namun kini semua berada di hujung jari maka lebih senang menyebarkan fitnah.

Hal ini boleh menjatuhkan perniagaan seseorang dek kerana ramai memilih untuk mempercayai apa yang mereka baca tanpa selidik terlebih dahulu.

Pastinya ramai pernah mendengar tentang produk sos cili Aminah Hassan keluaran syarikat Amisan Produk M Sdn Bhd yang pernah popular suatu ketika dahulu.

Pada tahun 80-an dan 90-an sos ini menjadi terkenal dan boleh dikatakan setiap rumah masyarakat Melayu mempunyai sos tersebut.

Tapi lama-kelamaan produk keluaran Aminah Hassan semakin menghilang dari pasaran sedangkan ia adalah salah satu sos yang popular.

Sejarah jenama Aminah Hassan

Pada tahun 1966, pasangan suami isteri Hajjah Aminah dan Haji Hassan telah mula mengusahakan perniagaan menjual kicap dan sos secara kecil-kecilan di Kampung Merdeka Batu Pahat, Johor.

Pengasasnya Hajjah Aminah berasal dari Klang, Selangor namun membesar di Melaka dan tinggal di Batu Pahat, Johor selama 10 tahun.

Hajjah Aminah kemudian berkahwin dengan suaminya, Haji Hassan dan tinggal di Kampung Kuantan, Klang.

Pada awalnya, Hajjah Aminah membuat sos cili untuk kegunaan sendiri dan beliau tidak pernah belajar untuk membuat sos. Segalanya direka dan dicuba sendiri.

Menyedari sos cilinya mendapat pujian dan permintaan rakan terdekat, Hajjah Aminah mula belajar supaya sosnya lebih tahan lama dan menjual kepada rakan terdekat.

Pada tahun 1979, pasangan suami isteri ini mula menubuhkan syarikat Amisan Produk M Sdn Bhd.

Jenama Aminah Hassan adalah gabungan nama Aminah dan suaminya Hassan Abu Bakar.

Pada awalnya mereka hanya mengeluarkan produk sos cili namun mereka mula mengorak langkah tampil dengan produk lain seperti sos tiram, sos kacang dan sos lada hitam.

Pada zaman 90-an, jenama Aminah Hassan bukan hanya berada di pasaran tempatan malah menembusi pasaran antarabangsa seperti negara Asia Barat, United Kingdom dan Australia.

Perniagaan jenama Aminah Hassan benar-benar mendapat sambutan daripada rakyat Malaysia kerana rasa produk sos dan kicap yang sesuai dengan ‘lidah’ orang Melayu.

Iklan produk Aminah Hassan sentiasa menghiasi papan iklan di lebuhraya dan televisyen.

Sesuai dengan tagline ‘Keaslian Tiada Tandingan’ sos Aminah Hassan berjaya mengalahkan produk jenama luar seperti Life, Kimball dan sebagainya.

Berita palsu mengenai Aminah Hassan tersebar

Pada 2 September 2009, Hajjah Aminah telah menghadap Ilahi pada usia 76 tahun akibat sakit tua.

Selepas pemergian pengasas Aminah Hassan, jualan produk telah mengalami kemerosotan sehingga terpaksa menghentikan operasi.

Menurut sumber, ada khabar angin yang mengatakan syarikat Aminah Hassan telah dijual dan dimiliki syarikat bangsa asing .

Susulan dariada berita itu, produk Aminah Hassan semakin kurang mendapat sambutan daripada pelanggan kaum bumiputera Muslim sehingga mengalami kerugian teruk hingga mengakibatkan syarikat terpaksa ditutup.

Produk Aminah Hassan kembali semula

Setelah sekian lama menyepi, kini syarikat Amisan Produk M Sdn Bhd telah bangkit memulakan operasi.

Anak perempuan pengasas produk ini, Hajjah Nor Aini Hassan dan suaminya Haji Zainal Abidin Abdullah kembali membangunkan semula perusahaan bagi memenuhi permintaan peminat-peminat Aminah Hassan.

Pihak syarikat juga menjelaskan perkara sebenar dan menafikan khabar angin yang telah tersebar.

Mereka menegaskan bahawa mereka tidak pernah dibeli pihak lain tetapi hanya menghentikan operasi seketika.

Kini produk jenama lejen Aminah Hassan kembali di pasaran dan boleh didapati di pasar raya seluruh Malaysia.

Kemunculan semula jenama ini sememangnya menggamit semula memori rakyat Malaysia yang membesar bersama produk Aminah Hassan.

Rupanya semua disebabkan khabar angin yang akhirnya memberi impak besar sehingga mampu menjatuhkan perniagaan.

Baca juga: Dilarang masuk balai kerana pakaian, wanita labuhkan skirt guna sarung kusyen