Malaysia Dateline

Sosma boleh dikekalkan, perlu tambah baik dari segi hak asasi manusia

 

Pengarah Undang-Undang Pakatan Harapan Negeri Kelantan, Hisham Fauzi berpendapat Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) boleh dikekalkan, namun ianya perlu ditambah baik.

Katanya, penambahbaikkan itu adalah dari segi aspek hak-hak asasi manusia sebagaimana yang terdapat dalam perlembagaan.

“Pada pendapat saya, Sosma ini perlu dipinda kerana ia adalah undang-undang untuk mencegah pengganas. Undang-undang itu perlu, cuma dia kena ada elemen seperti membawa tertuduh ke mahkamah dengan segera dan akses kepada peguam kerana hak asasi perlu dijaga.

“Undang-undang ini dibuat oleh kerajaan yang lama, jadi undang-undang itu ada aspek yang boleh dikatakan mengabaikan hak asasi. Benda itu sepatutnya ditambah baik,” katanya kepada Malaysia Dateline ketika ditanya mengenai langkah terbaik untuk menangani isu keganasan sama ada pinda atau bubar Sosma.

Ditanya adakah pihak polis menggunakan kuasa menangkap dan menahan suspek dilihat sebagai mengenepikan hak asasi dan perlembagaan, Hisham berkata beberapa prosedur perlu dijaga oleh pihak polis.

“Ia tidak menjejaskan kuasa polis, dia ada prosedur-prosedur yang perlu diikuti oleh polis contohnya seperti masa tidur, hak untuk mendapatkan peguam, makanan dan juga hak untuk beribadat. Hak-hak tersebut perlu dijaga,” katanya yang juga merupakan Ketua AMANAH Kawasan Tanah Merah.

Pada Mei lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan pindaan berkaitan Sosma akan dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini.

15 Oktober lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berpendapat, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak perlu dimansuhkan, sebaliknya perlu dipinda.

Ini kerana katanya, penggunaan akta tersebut boleh disalahguna dan mengambil contoh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang pernah ditahan di bawah Sosma.

“Ketika itu, Maria Chin hanya terlibat dalam Himpunan Bersih. Bagi kita tindakan seperti itu tidak patut dikenakan dan akta tersebut perlu diperbaiki,” katanya.