SOSMA: MP digesa  tolak usul lanjutkan kuasa 28 hari siasatan polis

SOSMA: MP digesa tolak usul lanjutkan kuasa 28 hari siasatan polis

Ahli Parlimen digesa untuk mengundi menolak usul berkaitan dengan siasatan polis selama 28 hari bagi tempoh 5 tahun lagi yang bakal tamat pada 31 Julai ini yang akan dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat kali ini.

 

Faiz Fadzil Ahli Parlimen digesa untuk mengundi menolak usul berkaitan dengan siasatan polis selama 28 hari bagi tempoh 5 tahun lagi yang bakal tamat pada 31 Julai ini yang akan dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat kali ini.

Ia berkaitan bagi melanjutkan kuatkuasa Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Desakan Pemuda Amanah Nasional ini dibuat kerana tindakan kerajaan pada 28 Mac lalu yang menahan semula penuntut sarjana Usuluddin di Universiti Malaya Siti Noor Aishah Atam di bawah Sosma.

Timbalan Pemuda Amanah Faiz Fadzil berkata, kerajaan perlu menghapuskan Sosma kerana akta ini secara jelas telah disalahgunakan untuk menzalimi rakyat Malaysia yang tidakpun terlibat dengan keganasan.

“Rakyat Malaysia menolak kezaliman yang menjadikan rakyat sendiri mangsa tindakan arbitrari dan autokratik pihak pemerintah.

“Sosma dikategorikan akta drakonian kerana mengandungi peruntukan yang bertentangan dengan prinsip dan kaedah keadilan sejagat serta hak dan kebebasan asasi yang dijamin perlembagaan.

“Antaranya penahanan oleh pihak polis untuk tempoh 28 hari tanpa perintah reman, penangguhan konsultansi peguam, ditahan tanpa ikat jamin sepanjang tempoh bicara dan lain-lain lagi.

“Ketidakadilan Sosma ini memuncak dengan peruntukan seksyen 30 yang memberikan kuasa kepada Pendakwa Raya untuk memohon secara lisan agar seorang yang telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan Sosma ditahan sementara menunggu bicara rayuan selesai,” ujarnya.

Faiz yang juga seorang peguam berkata, tindakan yang dikenakan ke atas Siti Noor Aishah di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) bertentangan dengan prinsip ‘double jeopardy’.

“Beliau sebelum ini ditahan dan didakwa dibawah Sosma dan setelah perbicaraan, beliau dibebaskan kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

“Namun, sejurus pembebasan beliau pada 29 September 2016, beliau ditahan pula di bawah Poca yang bertentangan dengan prinsip ‘double jeopardy’. Siti Noor Aishah kini ditahan sekali lagi di bawah Sosma.

“Peruntukan ini adalah zalim dan bertentangan dengan prinsip dan kaedah keadilan dan hak asasi.

“Yang menjadi mangsa kezaliman ini adalah Siti Noor Aishah sendiri di mana walaupun telah dibebaskan daripada sebarang kesalahan Sosma, tetapi beliau telah ditahan semula.

“Seharusnya doktrin bahawa ‘seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’ terpakai di tahap tertinggi memandangkan walau pelbagai keterangan dikemukakan pihak pendakwaan, masih tiada kesalahan yang beliau lakukan,” terangnya.

Kata beliau tangkapan dilakukan terhadap Siti Noor Aishah yang telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi seolah-olah menghukum beliau yang telah didapati tidak bersalah.

“Ia satu tindakan yang tidak demokratik dan tidak beperlembagaan.

“Justeru, Pemuda Amanah mendesak Pendakwa Raya yakni Peguam Negara segera membebaskan Siti Noor Aishah yang secara logik dan kehakiman tidak melakukan apa-apa kesalahan yang mengancam keselamatan negara di mana buku-buku yang dimiliki beliau yang menjadi asas pertuduhan di bawah Sosma tidak pula diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri,” ujarnya.

Siti Noor Aishah, 29, pertama kali ditahan pada Mac tahun lalu, di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Sosma, kerana memiliki 12 buah buku yang didakwa berkaitan dengan kumpulan pengganas.

Pada bulan berikutnya, dia didakwa di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan tidak mengaku bersalah memiliki buku-buku berkenaan, selepas kes itu dibicarakan.

 

TAGS