Malaysia Dateline

Sosma: MP Sepang cabar Ketua Pembangkang debat

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin menyatakan hasratnya untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang di Parlimen Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma.

Hanipa yang juga Menteri Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Kerajaan PH amat menghormati hak dan kebebesan Yb Ketua Pembangkang menyatakan pendapatnya tentang SOSMA dalam kerangka kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Justeru beliau berpandangan atas kapasiti rasminya di Jabatan Perdana Menteri itu, beliau bersedia untuk berdebat dengan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu yang juga Presiden Umno.

“Saya membaca kenyataan Ketua Pembangkang dalam media yang mempersoalkan tentang hasrat Kerajaan PH ingin membatalkan undang-undang drakonian Sosma.

“Saya yakin pihak media seperti RTM atau Astro Awani bersedia menyiarkan perdebatan ini secara langsung di TV jika YB Ketua Pembangkang bersedia menyahut cabaran saya ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hanipa antara lain tujuan perdebatan ini adalah bagi mendidik masyarakat dan menghapuskan kekeliruan yang cuba ditonjolkan oleh Ahmd Zahid berhubung isu SOSMA.

Pada Ahad Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Sosam undang-undang kontroversi yang diluluskan pada 2012 oleh BN.

Namun semalam Ahmad Zahid berkata, cadangan kerajaan PH membatalkan Sosma akan membuka lebih banyak ruang provokasi antara kaum dan agama melalui pelbagai saluran media sosial,

Beliau berkata parti itu memandang berat logik di sebalik cadangan pemansuhan akta itu yang digubal untuk menjaga ketenteraman awam daripada anasir yang boleh mengganggu-gugat keselamatan negara dan tidak langsung menyentuh soal politik individu.