Malaysia Dateline

Sosma perlu dipinda, bukan dimansuhkan, kata Mohamad

 

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berpendapat, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak perlu dimansuhkan, sebaliknya perlu dipinda.

Ini kerana katanya, penggunaan akta tersebut boleh disalahguna dan mengambil contoh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang pernah ditahan di bawah Sosma.

“Ketika itu, Maria Chin hanya terlibat dalam Himpunan Bersih. Bagi kita tindakan seperti itu tidak patut dikenakan dan akta tersebut perlu diperbaiki,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya media berhubung terdapat pimpinan politik yang tidak bersetuju pihak polis menggunakan Akta Sosma dalam isu kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan minta ia dimansuhkan.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Presiden AMANAH yakin bahawa pihak polis lebih berhati-hati dalam mengendalikan kes berkenaan.

“Itu (siasatan) kita serahkan kepada pihak polis dan berharap ia dapat dijalankan mengikut peraturan,” katanya.

Sabtu lalu, dua lagi individu yang juga ahli DAP di Melaka ditahan mengikut Sosma dan pada Khamis lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang juga Exco kerajaan negeri Melaka antara tujuh individu ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam majlis memperingati perjuangan LTTE.

Mereka ditahan kerana didakwa mempromosikan, menyokong dan memiliki bahan serta mengagian dana yang mempunyai kaitan kumpulan pengganas itu.

Mohamad Sabu bergambar bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Wilayah Persekutuan yang hadir di lobi Parlimen hari ini.