Malaysia Dateline

#SOSMA sohor di Twitter

Tanda pagar #SOSMA sohor di Twitter hari ini gara-gara usul kerajaan berkenaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang ditolak semalam.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut memberi reaksi termasuk mengimbas kembali apa yang berlaku sehingga usul itu hanya disokong 84 Ahli Parlimen selepas keputusan undian belah bahagian.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau juga bangkit mencelah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin semasa perbahasan SOSMA.

“Saya mencelah Hamzah Zainuddin semasa perbahasan SOSMA.

“Dia (Hamzah) mendakwa bahawa dia belum dan tidak akan menggunakannya pada lawan politik,” katanya.

Nik Nazmi Nik Ahmad

Walau bagaimanapun, wakil rakyat PKR itu mendakwa terdapat rakyat di kawasan diwakilinya turut menjadi mangsa kepada akta yang membolehkan individu ditahan tanpa bicara.

“Tetapi rakyat Malaysia biasa juga – seperti Mustaza dari kawasan saya – telah menjadi mangsa.

“Pelbagai kesalahan di bawah SOSMA membukanya kepada penyalahgunaan,” katanya.

Sementara itu, aktivis Mandeep Singh menempelak Ahli Parlimen yang menyokong usul menteri untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan mengikut SOSMA sehingga 28 hari.

“Seorang lagi Menteri (Luar Negeri) yang tidak tahu malu di mahkamah menyokong lanjutan #Sosma ialah @saifuddinabd. (Datuk Sri Saifuddin Abdullah) kononnya reformis,” bidasnya.

Semalam, selain hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, terdapat 86 Ahli Parlimen tidak menyokong manakala 50 Ahli Parlimen lagi tidak hadir semasa undian belah bahagian berhubung isu itu.

Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

Subseksyen 4(5) SOSMA bagi membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas di bawah subseksyen itu, untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan di bawah SOSMA sehingga 28 hari, tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.

Baca juga: