Sosma: Tangkapan dan Tahanan

Sosma: Tangkapan dan Tahanan

SIRI 1 : Hakikat di sebalik pelaksanaan Akta Kesalahan Keselamataan (Langkah-langkah Khas 2012) (Sosma)- Tangkapan dan Tahanan.

Dalam era pentadbiran kerajaan baru ini, komitmen pihak kerajaan terhadap Sosma dapat dilihat melalui ucapan Perdana Menteri bahawa “Kerajaan akan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang diperkenalkan ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).”

Namun begitu tiada sebarang reaksi positif daripada pihak kerajaan dilihat, sehinggalah mogok lapar oleh tahanan Sosma dan ahli keluarga mereka di buat baru-baru ini di penjara  Sungai Buloh dan menyaksikan respon balas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) mengumumkan untuk tempoh 3 bulan bagi membuat keputusan pemansuhannya. Sosma adalah satu undang-undang kontroversi yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 April tahun 2012 dan diwartakan pada 22 Jun 2012 bagi menggantikan kekejaman Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sehingga kini, perbahasan mengenai pemansuhan Sosma ini telah sampai ke perhatian seluruh rakyat Malaysia. Kita diwarkan-warkan di media bahawa terdapat sekumpulan pihak yang tegar membantah Sosma dan ada pula kumpulan yang teguh menyokong Sosma dikekalkan.

Namun begitu, apakah hakikatnya di sebalik perlaksanaan Sosma ini dan adakah Sosma ini hanyalah pengganti
salin kulit kepada ISA yang kita mansuhkan pada 31 Julai 2012? Atau lebih teruk daripada ISA?

Coretan Pemansuhan Sosma – Siri 1 ini memberi fokus kepada penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa dan kezaliman yang dilakukan terhadap suspek-suspek Sosma semasa tempoh mereka di tahan/siasat. Kuasa yang terlalu luas yang di berikan kepada pihak Polis ini, dapat dilihat sebagaimana peruntukan berikut:

Seksyen 4. Kuasa penangkapan dan penahanan(5) Walau apa pun subseksyen (4), seorang pegawai polis yang
berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada dua puluh lapan hari, bagi maksud penyiasatan.

Seksyen 4 Sosma – Kuasa penangkapan dan penahanan(10) Seksyen ini mempunyai kuat kuasa walau apa pun jua yang berlawanan dengan Perkara 5 dan 9 Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

Dinafikan hak lantik peguam, lawatan banduan

Dalam kebanyakan kes, apabila seseorang di tahan, mereka telah awal-awal lagi dinasihatkan agar memberi kerjasama kepada pihak polis. Antara bentuk “kerjasama” itu adalah “tidak melantik peguam” kerana ianya disifatkan hanya membuang masa.

Hakikatnya, tanpa Peguam, urusan siasatan dapat di jalankan “dengan mudah” dan tiada sebarang gangguan. Namun bila mana memasuki minggu ke-2 berturut-turut, ahli keluarga masih tidak mengetahui di mana suspek di tahan maka akhirnya mereka terpaksa mendapatkan khidmat peguam.

Dalam tempoh tersebut juga, pihak keluarga di nafikan hak lawatan suspek itu tadi, sedangkan mereka sudahpun mengikuti “nasihat” pihak polis agar tidak melantik/memaklumkan peguam berhubung tangkapan tersebut.

Siapa menyangka tahanan/suspek Sosma yang kononnya di katakan terlibat dengan “pengganas” itu akan di tempatkan di dalam bilik berhawa dingin? Istimewa bukan? Mengalahkan tahanan untuk kes-kes yang boleh dihukum gantung sampai mati. Tapi itulah hakikatnya. Untuk apa di tempatkan di bilik berhawa dingin ini? Untuk mereka memberi “kerjasama” dan mengakui apa juga cerita yang di hidangkan di hadapan mereka. Suhu penghawa dingin ini akan di laras mengikut “kedegilan” seseorang suspek. Sekiranya masih tidak mahu mengaku, maka suhu akan di kurangkan menjadi lebih rendah dan akan dibiarkan di dalam bilik tersebut. Begitulah seharian tahanan/suspek Sosma selama 28 hari!  Inilah  yang dikatakan penderaan mental dan fizikal.

Adakah ini di benarkan di bawah Sosma? Ye di benarkan, kerana terdapat peruntukan yang membenarkan keterangan/Pengakuan mereka di terima oleh mahkamah walaupun diambil dengan apa jua cara sekalipun!

Terdapat juga kes-kes di mana sepanjang berada dalam tahanan, suspek sering kali dicederakan atau mendapat serangan fizikal seperti di tumbuk, di tendang, diludah dan dipukul. Untuk apa dan apakah motifnya? Untuk mendapatkan persetujuan suspek dan tandangan suspek atas cerita-cerita yang di hidangkan di hadapan mereka sebagai suatu jalan singkat pihak berkuasa.

Di dalam keadaan-keadaan tertentu, mereka juga menghadapi ugutan secara halus berhubung keselamatan ahli keluarga. Mereka akan di “beritahu” bahawa keluarga suspek: isteri, anak, ibu dan ayah mereka semuanya sedang di perhatikan dan sekiranya tidak memberi kerjasama, tiada jaminan keselamatan akan diberikan terhadap mereka.

Oleh sebab itu, kebanyakan ahli keluarga suspek trauma dengan hal ini bila maklumat sebegini di beritahu oleh suspek. Malah, di dalam catatatan ini juga, tiada sebarang rujukan kes/keluarga suspek akan di dedahkan.

Pernah beberapa ketika, bilamana pertemuan Peguam bersama suspek berjaya di aturkan, akan terlihatlah wajah suspek yang ketakutan memandang kiri dan kanan yang penuh dengan anggota polis bersenjata memenuhi ruang/bilik pertemuan di antara Peguam-suspek tersebut. Semenjak daripada awal, suspek sudah di beri amaran agar tidak menceritakan sebarang penderaan fizikal yang di lakukan ke atas mereka. Apabila di tanya, mereka akan menjawab dengan linangan air mata! Maka fahamlah kami keadaan tersebut.

Mengenang keadaan tersebut, pertemuan pada minggu berikutnya, sesi pertemuan di buat di dalam keadaan bertulis. Soalan telah di buat awal-awal, dan setibanya di sana, suspek hanya perlu menulis jawapan sahaja.

Maka terbongkarlah segala apa yang berlaku. Mengertilah kami mengapa memasuki minggu ketiga baru di benarkan berjumpa, rupanya untuk menghilangkan kesan lebam di muka dan seluruh badan.

Hak lawatan Peguam ini di benarkan di bawah Sosma, tetapi hak apa yang cuba di gambarkan andainya pertemuan itu sendiri tiada privasi? Ibarat memberi makanan percuma yang di curah racun ke dalamnya!

Mungkin juga, anda masih ingat akan kejadian yang mana suspek di ugut dengan botol kaca yang di sarungkan kondom sebagai suatu ancaman untuk meliwat suspek menggunakan botol kaca tersebut. Atas kesedaran pihak keluarga, kisah tersebut telah di dedahkan dan penderaan fizikal ke atas mereka di hentikan serta merta. Persoalannya mengapa perlu sampai ke tahap itu?

Catatan ini saya dedahkan untuk menggambarkan betapa Sosmaini merupakan suatu bentuk kekejaman di alaf baru. Janganlah di sebabkan ketakutan kita pada suatu perkara menjadikan kita
berlaku zalim sedemikian rupa.

Apakah bezanya kita dengan negara-negara pengganas yang lain seperti Israel? Bukankah bentuk tahanan/siksaan sebegitu yang di gunakan? Bukankah Islam turut menganjurkan cara-cara mengendalikan seseorang tahanan?

Malah, kesemua mereka adalah berstatus di dalam siasatan yang belum lagi di sabitkan bersalah. Adakah kita perasan bahawa, kesalahan-kesalahan di bawah Sosma tidak ada yang boleh di hukum dengan hukuman mati, tetapi kenapa begitu banyak pihak tampil menentangnya? Adakah anda pernah mendengar, ahli keluarga suspek kes bunuh, atau kes mengedar dadah membuat demo menuntut undang-undang prosedur itu di hapuskan?

Semua ini berlaku kerana Sosma itu suatu bentuk prosedur undang-undang yang kejam dan melampui batas norma hak asasi seseorang manusia.

* Penulis adalah Peguambela/Peguamcara Malaya  yang berdaftar pada 2009. Pernah berkhidmat di Unit Pendakwaan Jabatan Peguam Negara sebelum menubuhkan firma guamannya sendiri.  Berpengalaman mengendalikan kes yang tertumpu kepada jenayah sivil (litigasi). Beliau juga salah seorang peguam jenayah yang mengendalikan kes menentang pelaksanaan Sosma/Poca/Pota.

 

 

CATEGORIES
TAGS