Spad ganti perkhidmatan teksi dengan kereta sapu?

Spad ganti perkhidmatan teksi dengan kereta sapu?

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) seperti memilih untuk mengantikan teksi dengan kereta sapu apabila memihak kepada perkhidmatan Uber dan Grabcar.

Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M), Kamarudin Hussain berkata, SPAD telah terpesong jauh daripada tujuan sebenar penubuhannya pada 2010 iaitu bagi menjamin kebajikan dan ekonomi pemandu teksi.

“Sebaliknya, SPAD terlalu ghairah menghalalkan aktiviti kereta sapu sekaligus akan menguburkan hasrat Perdana Menteri untuk melihat teksi 1Malaysia terkenal di mata dunia,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas pelan transformasi SPAD untuk membenarkan dari segi undang-undang perkhidmatan Uber dan GrabCar, beliau kesal langkah tersebut bercanggah dengan praktik dan peraturan yang diamalkan sebelum ini.

“PERS1M mempersoalkan transformasi apa yang sedang SPAD usahakan?

“Apakah SPAD tidak tahu Uber dan Grabcar hanya aplikasi yang telah disalah gunakan, sedangkan aktiviti mengambil dan menghantar penumpang tanpa permit dengan menggunakan kenderaan persendirian adalah satu aktiviti yang menyalahi undang-undang?” soalnya.

Untuk rekod, pelan berkenaan termasuk bagi menyamaratakan medan persaingan untuk pemandu teksi dijangka dibentangkan pada mesyuarat Kabinet bulan depan.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, SPAD seharusnya berusaha sedaya upaya untuk memastikan harapan Perdana Menteri dan dasar kerajaan berkaitan industri teksi terlaksana.

“Namun, apa yang berlaku hari ini SPAD seolah-olah ingin mengambarkan ilham Perdana Menteri untuk menjadikan Teksi 1Malaysia sebagai ikon adalah satu hasrat yang tidak bijak,” ujarnya.

Menurut beliau, keadaan ekonomi pemandu teksi semakin terhimpit ekoran sikap SPAD yang membiarkan operasi Uber dan Grabcar.

“Pemerhatian kami mendapati 25 buah TEKS1M telah disita pihak bank selepas pemandunya tidak mampu membayar pinjaman pembiayaan TEKS1M.

“Selain itu, pihak BSN mengakui hampir keseluruhan pamandu TEKS1M menghadapi masalah sama apabila kehilangan sumber pendapatan setelah kereta sapu Uber dan Grabcar merompak mata pencarian mereka,” tegasnya.

Keadaan ekonomi pemandu teksi semakin terhimpit ekoran sikap SPAD yang membiarkan operasi Uber dan Grabcar beroeprasi.Sehubungan itu, beliau menyifatkan SPAD mahu industri teksi terkubur dan ilham Perdana Menteri untuk melihat TEKS1M menjadi ikon Malaysia gagal.

“Peliknya kesamarataan apa yang ingin SPAD berikan kepada pelaku kereta sapu yang terang-terang melanggar undang-undang?” soal Kamarudin lagi.

Kehadiran Uber dan Grabcar yang menjejaskan pemandu teksi itu turut mengundang dilema memandangkan masih belum diiktiraf kerajaan untuk beroperasi sepenuhnya di negara ini.

Meskipun berdepan dengan risiko keselamatan tetapi majoriti pengguna menganggap Uber dan Grabcar memberi banyak kelebihan termasuk caj yang murah berbanding teksi.