Malaysia Dateline

SPAD periksa 4,861 kenderaan sepanjang Ops Serkap

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memeriksa sebanyak 4,861 kenderaan dalam Operasi Bersepadu Serkap (Ops Serkap) sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri di seluruh negara sejak 12 Jun lalu.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan  SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,445 pemeriksaan melibatkan kenderaan bas, teksi dan lori.

Menurutnya, sebanyak 154 bas, 37 teksi dan 102 lori telah melakukan pelbagai kesalahan antaranya mengenakan tambang berlebihan kepada pengguna, tidak mempunyai dokumen pemandu serta menurunkan penumpang di kawasan yang tidak dibenarkan.

Kesalahan lain adalah tidak menggunakan meter ketika mengambil penumpang, membawa muatan berlebihan serta gagal mengemukakan permit, katanya pada sidang media di Pejabat SPAD Wilayah Selatan di sini, malam tadi.

Beliau kemudian melakukan pemantuan di Terminal Bas Larkin dan Taman Ungku Tun Aminah, dekat sini.

Katanya, setakat malam tadi, tiada sebarang penahanan dibuat termasuk pemandu bas yang berada di bawah pengaruh dadah.

Ops Serkap, yang melibatkan 380 anggota penguat kuasa SPAD serta polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, dijalankan sehingga 2 Julai ini.