Malaysia Dateline

SPAD tingkat penguatkuasaan sempena cuti sekolah, Krismas, Tahun Baharu 2018

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu 24 jam sempena perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu 2018, bermula 22 Dis hingga 2 Jan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata operasi yang akan melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Pihak Penguatkuasa Lebuhraya itu adalah bagi menangani isu pengendali pengangkutan awam dan pemandu yang melanggar undang-undang.

Beliau berkata antara tindakan diambil bagi menangani isu tersebut ialah dengan melakukan operasi penyamaran, audit penguatkuasaan terhadap rekod Sistem Kedudukan Global (GPS) kenderaan, rondaan dan perangkap kelajuan serta pemantauan kamera litar bertutup (CCTV) di Pusat Operasi Lebuh Raya.

“Pegawai penguatkuasaan SPAD juga akan meronda lokasi-lokasi di pusat bandar serta terminal-terminal bas bagi memeriksa kaunter tiket dan dokumen, selain memantau dan mengambil tindakan terhadap aktiviti ulat tiket,” katanya pada sidang media sebelum melakukan tinjauan di Terminal Bersepadu Selatan di sini, hari ini.

Beliau berkata SPAD juga memberi peringatan kepada pengendali bas ekspres supaya mengutamakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya melalui penekanan terhadap pematuhan Kod Amalan Industri SPAD selain mematuhi peraturan keselamatan setiap masa.

Katanya SPAD juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali pengangkutan awam yang didapati cuai dalam pengurusan operasi mereka.