Speaker bukanlah maksum

Speaker bukanlah maksum

Dalam sebuah negara demokrasi yang berteraskan sistem berparlimen, jawatan Speaker ( yang dikenali sebagai Yang Dipertua di Malaysia) adalah sangat penting. Speaker yang mengetuai sidang Dewan Parlimen adalah satu jawatan yang amat dihormati. Sesiapa yang menyandang jawatan itu semestinya bersikap neutral walapun dia berpihak kepada mana-mana fahaman politik. Inilah kriteria utama yang perlu dihadamkan terlebih dahulu sebelum seseorang itu mengambil sumpah menjawat jawatan Speaker.

Di Malaysia, Speaker dipilih mengikut undi majoriti di Dewan yang mulia. Secara lumrahnya, jawatan Speaker ini disandang oleh orang yang menjadi pilihan parti pemerintah. Oleh itu, adalah sukar untuk melihat sikap berkecuali yang sepenuhnya. Speaker sering kali menonjolkan sikap berat sebelah membantu pihak kerajaan melaksanakan agendanya dengan mudah di Dewan.

Tetapi, adalah tidak wajar jika sikap berat sebelah itu amat menonjol sehingga membantu mana-mana pihak menutup skandal-skandal yang besar. Parlimen adalah forum tertinggi untuk berbahas dan mengusulkan perkara-perkara tertentu demi kepentingan rakyat dan negara. Ahli-ahli Parlimen memikul tanggungjawab menegakkan keadilan dan melaksanakan kewajiban berdasarkan lunas-lunas perlembagaan.

Ahli-ahli Parlimen juga tidak boleh membiarkan kemuliaan Dewan dicemar oleh mana-mana pihak termasuk Speaker. Adalah wajar untuk Ahli-ahli Parlimen untuk membetulkan institusi Speaker jika terdapat unsur-unsur yang menghakis kesucian Dewan. Tindakan Ahli-ahli Parlimen itu tidak boleh dianggap sebagai menghina Dewan yang mulia. Malah, tindakan itu perlu dianggap sebagai usaha murni untuk memartabatkan Dewan yang mulia.

Kuasa Speaker bukanlah kuasa mutlak. Ada mekanisme tertentu dalam undang-undang menghadkan kuasanya. Speaker tidak boleh menganggap dirinya sebagai maksum. Setiap orang dan kuasa yang dimiliki ada hadnya.

Apabila seseorang Speaker tidak boleh menjalankan tanggungjawab secara neutral kerana tekanan daripada mana-mana pihak, maka pilihan terbaik untuknya adalah meletak jawatan dengan cara terhormat. Inilah tahap integriti yang paling disanjungi. Memegang jawatan itu dalam keadaan tertekan dan kerana kepentingan peribadi akan menjejaskan keseluruhan sistem demokrasi.

*Penulis adalah Ahli Parlimen Batu Gajah