Sesi pagi ini berlangsung tidak terkawal apabila Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berang dan memutuskan untuk menolak semua pertanyaan dan hujahan yang dibawa Ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Ia berlaku selepas Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai-PH) mendakwa Speaker cuba menyeleweng Dewan Rakyat apabila Azhar mengatakan bahawa sidang khas Parlimen yang diadakan hari ini adalah selaras dengan perlembagaan.
Azhar mengatakan bahawa Parlimen menggunakan peraturan tetap 11(3) yang menyebut mengenai kuasa perdana menteri untuk melakukan mesyuarat khas.
Salahuddin kemudian memetik titah Yang di-Pertuan Agong bahawa sidang Parlimen perlu dibuka segera dan membahaskan segala isu yang sedang berlaku ketika ini.
“Tuan Speaker, saya rasa anda dah menyelewengkan Dewan. Di atas penjelasan itu saya rasa Speaker dah selewengkan Dewan.
“Sebab, surat pertama titah Agong adalah untuk buka Parlimen. Saya rasa Speaker menyeleweng Dewan. Agong menitahkan perdana menteri supaya buka Parlimen bahaskan segala ini. Inu buka apa?,” soalnya
Perkara tersebut dibangkang oleh Azhar yang menyatakan bahawa beliau tidak menyeleweng Dewan dan memberi amaran agar tidak melakukan tuduhan sedemikian.
“Kenapa saya seleweng pula? Saya sedang baca peraturan 11 (3). Tolong jangan tuduh saya, saya tidak seleweng Dewan,” jawabnya.
Susulan itu, kekecohan berlaku dan Ahli-ahli Parlimen blok pembangkang terus mendesak Azhar untuk berhenti menyebut mengenai kuasa Perdana Menteri.