Malaysia Dateline

Lim Kit Siang

Speaker Dewan Rakyat: Kit Siang serah kepada pimpinan PH

Tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang menyerahkan kepada pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) untuk membuat keputusan berhubung pemilihan calon Speaker Dewan Rakyat.

Penasihat DAP itu berkata jawatan itu tidak menjadi keutamaan kepada dirinya kerana fokus utama adalah berkhidmat kepada negara dan rakyat yang telah memilih PH sebagai kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kit Siang, yang juga Anggota Parlimen Iskandar Puteri, mengulas desas-desus kononnya beliau adalah antara calon disenaraikan untuk pemilihan Speaker Dewan Rakyat di samping bekas Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata senarai nama calon Speaker Dewan Rakyat telah dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PH dan keputusan perlu dimuktamadkan segera sebelum Sidang Dewan Rakyat bermula 16 Julai ini.