Malaysia Dateline

Speaker Dewan Rakyat nafi polis bantuan Parlimen positif Covid-19

Mengelirukan. Semalam, Takiyuddin memberitahu Dewan Rakyat, persidangan terpaksa dipendekkan sehingga jam 1 tengah hari kerana terdapat petugas di Dewan Negara disahkan positif Covid-19.

Namun, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pagi ini berkata, anggota polis terbabit bertugas di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan tidak mempunyai kontak rapat dengan mana-mana Ahli Parlimen, pegawai atau kakitangan.

“Laporan semalam kata polis bantuan Parlimen positif sebenarnya tidak benar, bukan polis bantuan kita (Parlimen), ia anggota polis bantuan yang berkhidmat di tempat lain. Anggota itu berkhidmat di JPM.

“Polis itu bukan bertugas di sini (bangunan Parlimen), ia bertugas di tempat lain dan itu (laporan semalam) satu kesilapan.

“Memang polis bantuan di bawah JPM, tetapi bukan bertugas di Pejabat Perdana Menteri,” katanya ketika memulakan sesi Mesyuarat Ketiga Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, hari ini.

Susulan penafian Azhar itu, Datuk Mahfuz Omar (AMANAH-Pokok Sena) dan Datuk Dr. Xavier Jayakumar (PKR-Kuala Langat) mempersoal maklumat disebutkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin.

Semalam, Takiyuddin memberitahu Dewan Rakyat, persidangan terpaksa dipendekkan sehingga jam 1 tengah hari kerana dimaklumkan terdapat kakitangan Dewan Negara disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hariannya semalam juga memberitahu empat polis bantuan yang bertugas di Parlimen didapati positif Covid-19.

“Seorang polis bantuan didapati positif dan kita menjalankan pengesanan kontak dan mendapati tiga daripada rakan sekerjanya serta isterinya juga positif. Sudah ada lima kes di situ,” kata Dr Noor Hisham.

Sehubungan itu, Azhar memaklumkan akan memberi penjelasan mengenai hal tersebut kepada Ahli Dewan Rakyat ketika sesi persidangan nanti, selepas mendapatkan maklumat dari Ketua Parlimen.

Beliau juga menyatakan maklumat sekurang-kurangnya empat kakitangan Dewan Negara disahkan positif Covid-19 sebagai tidak benar.

Jelasnya, yang disahkan positif Covid-19 ialah seorang pegawai kepada seorang Senator (Ras Adiba Radzi).

“Mengenai Dewan Negara, ia adalah kakitangan kepada seorang Senator. Pegawai itu datang melakukan swab test Covid-19 dan didapati positif, tapi dia tidak datang hari-hari di kawasan Parlimen.

“Saya akan keluarkan penjelasan. Yang penting, semua Ahli Parlimen yang hadir hari ini negatif Covid-19,” kata Azhar lagi.