Malaysia Dateline

Speaker Dewan Rakyat turun padang, kerajaan PH fokus reformasi Parlimen

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang giat dalam usaha mereformasi Parlimen.

Menurut Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu, Parlimen harus dirakyatkan supaya rakyat boleh mengambil manfaat walaupun bukan dalam sidang di majlis dewan utama.

 

“Peranan kita adalah menyediakan wahana untuk NGO berbincang sesuatu perkara di Parlimen. Secara prinsipnya Parlimen adalah tempat perbincangan yang teratas.

“Sejak saya masuk Parlimen ini sepanjang perkiraan saya ada sehingga lima program telah dilaksanakan. Antaranya kita sudah ada program bersama SUHAKAM dan sesi latihan kepada Ahli Parlimen kita.

“Program dengan SPR dan rakan-rakan NGO berkaitan reformasi pilihan raya. Terbaru, kita sudah adakan seminar berkenaan reformasi Parlimen dengan kerjasama IDE.

“Produk terbaru adalah kita telah memperkenalkan Siri Syarahan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Kita telah panggil Presiden Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tunku Zain Al’-Abidin Tuanku Muhriz untuk memberi syarahan tentang Parlimen dan NGO,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam slot “Apa Cerita Bos?” yang dimoderatorkan Ketua Pemuda AMANAH Sabah, Khairuddin Daud baru-baru ini.

Wan Anwar yang juga peguam berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof bahkan telah memberi syarahan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Pensyarah UKM menyebut ini kali pertama seorang Yang Dipertua Dewan Rakyat turun ke UKM. Tetapi bagi saya, ini kali pertama Yang Dipertua Dewan Rakyat turun ke universiti-universiti.

“Selepas UKM banyak universiti berminat seperti di UIA, Unisza. Sampai tahap rakyat di Malaysia turut berminat memberi idea seperti di Amerika Syarikat (AS) tentang bagaimana Parlimen boleh direformasikan,” ujarnya lagi.

Untuk perbincangan lanjut termasuk manfaat penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, dapatkan akhbar Mingguan Amanah Bil 133 di pasaran sekarang.