Malaysia Dateline

Speaker DUN Johor ada kuasa undi penentu jika undi sama banyak

Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan Kayat mempunyai kuasa penentu jika berlaku pengundian dalam DUN yang bakal bersidang Khamis 10 September  dan Ahad 13 September ini.

“Ya saya ada kuasa penentu itu,” kata Suhaizan kepada Malaysia Dateline ketika disoal apakah beliau ada kuasa penentu itu jika berlaku suasana sedemikian dalam sidang DUN Johor.

Ini berikutan tindakan Adun Kempas, Datuk Osman Sapian yang dilihat tidak lagi menyokong kerajaan negeri yang ada bahkan turun berkempen untuk membantu calon yang disokong oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pilihan raya kecil Slim.

Jika benar Osman yang juga bekas Menteri Besar Johor itu tidak lagi menyokong kerajaan yang ada, kedudukan kerusi dalam DUN Johor menjadi sama banyak.

“Sekarang ini, kedudukannya 29 kerajaan dan 27 pembangkang. Kita tidak tahu apa pendirian Osman sebenarnya sehinggalah ia ditunjukkan dalam sidang DUN jika ada pengundian.

“Namun sehingga kini beliau tidak menunjukkan sikap itu dengan jelas,” kata Suhaizan.

DUN Johor akan bersidang Khamis ini dan akan bersambung pada Ahad selepas itu kerana Jumaat dan Sabtu adalah hari cuti untuk Johor.

Sebelum ini, Bersatu Bahagian Pulai akan membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin parti berhubung tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu yang didakwa membantu kempen calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Bersatu Pulai, Ya’cob Atan berkata, aduan rasmi berkenaan akan dihantar selepas bahagian itu mengadakan mesyuaratnya.

“Mengikut Fasal 10.2.2 dan Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU, tindakan penentangan terhadap parti boleh menyebabkan keahlian mereka (terhenti) serta-merta seperti mana yang berlaku terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat ahli Bersatu lain,” katanya selepas melancarkan Konvoi Semarak Kemerdekaan ke-63, di Johor Bharu Isnin lepas.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, keahlian Osman dalam Bersatu boleh tergugur dengan sendirinya selepas beliau tidak hadir selepas dipanggil oleh Lembaga Disiplin parti itu 4 September lepas.

Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, Osman tidak perlu hadir ke mesyuarat lembaga itu untuk membolehkannya diambil tindakan.

“Menurut Perkara 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, dia tidak perlu hadir ke Lembaga Disiplin. Setiausaha Agung boleh sahaja membuat pengumuman tentang keahlian beliau selepas tindakan beliau sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.