Speaker Negeri Sembilan lapor polis berhubung fitnah terhadapnya di laman sosial

Speaker Negeri Sembilan lapor polis berhubung fitnah terhadapnya di laman sosial

Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohd Omar membuat satu laporan polis terhadap laman sosial Facebook ‘PH Hot Coffee’ berhubung tuduhan fitnah yang cuba menjatuhkan reputasinya.

Menerusi akaun Facebook tersebut, tuduhan yang didakwa mengaibkannya itu dikenalpasti dilakukan antara Oktober hingga November tahun ini melibatkan tuduhan cuba mengganggu pentadbiran kerajaan Negeri.

Zulkefly berkata, kenyataan itu secara jelas telah menghinanya sebagai Yang Dipertua Dun Negeri Sembilan dan cuba melagakannya bersama menteri besar.

“Jadi dalam laporan polis ini, saya menyatakan bahawa posting ataupun hantaran yang dibuat oleh pemilik akaun ini telah menghina, memalukan dan cuba untuk melagakan saya dengan pentadbiran kerajaan Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Saya menafikan sekerasnya semua berkaitan saya di Facebook itu yang memfitnah saya seolah-olah cuba untuk mengganggu pentadbiran kerajaan negeri sembilan.

“Penghinaan juga dilakukan dengan mengatakan saya mabuk yahudi, meroyan, dan kaduk naik junjung di mana ia menjatuhkan imej saya selaku legislatif yang merupakan salah satu badan tertinggi dalam kerajaan negeri,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat pemilik akaun tersebut untuk disiasat di bawah seksyen 499 dn seksyen 500 kanun keseksaan.

Zulkefly berkata, satu saman sivil juga akan dikeluarkan terhadap pemilik akaun yang terlibat oleh kerana telah menjatuhkan reputasinya.

“Saya bertegas, kita akan tuntut ganti rugi atas saman fitnah yang mana kita tahu bahawa dalam kandungan hantaran itu secara terang-terangan menyebut jawatan dan juga nama saya,” katanya.

Sementara itu, dalam laporan berasingan, Ketua Wanita AMANAH Negeri Sembilan, Norwani Ahmad turut membuat laporan polis sama terhadap pemilik akaun Facebook tersebut yang telah menulis kenyataan fitnah dan berbaur hasutan terhadapnya.

“Dalam hantaran Facebook tersebut, admin akaun ini telah memfitnah saya kononnya saya ini gila kuasa, tamak kuasa, dan juga bersekongkol dengan datuk speaker.

“Tapi semua yang tertulis dalam itu adalah tidak benar yang lebih kepada ingin menjatuhkan reputasi saya sebagai Ketua AWAN Negeri Sembilan, bukan setakat menjatuhkan reputasi datuk speaker.

“Dia juga cuba mengaibkan saya dengan apa juga masalah yang berlaku dalam AMANAH Rembau dan AMANAH seremban.

“Maka dengan itu, tindakan tegas perlu diambil kepada penulis yang membuat hantaran tersebut. Kami tak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang secara lebih lanjut,” ujarnya.