Malaysia Dateline

Speaker perlu beri laluan kepada orang lain siasat siapa halang Nga

Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang menegaskan Speaker Dewan Rakyat perlu memberikan laluan kepada orang lain untuk mempengerusikan siasatan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat mengenai sama ada seorang Menteri Kanan telah menghalang Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming daripada mempengerusikan sidang pada petang, 20 September lalu.

Pemimpin veteran DAP itu berkata, gangguan terhadap keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat oleh pihak Eksekutif adalah satu perkara yang amat serius dan satu tingkah laku yang amat tidak boleh diterima di Parlimen.

Hal ini memandangkan, jelasnya dalam satu kenyataan hari ini, memberikan kesan kepada martabat Parlimen dan juga satu pencabulan prinsip pemisahan kuasa seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pada hari Selasa (21 September), Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo telah mencabar Menteri Kanan Perdagangan dan Industri Antarabangsa, Azmin Ali, untuk mengaku sama ada beliaulah Menteri Kanan yang menyekat Nga daripada mempengerusikan sidang petang hari sebelumnya, tetapi Azmin mengelak daripada menjawab persoalan tersebut semasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat,” katanya.

Kit Siang berkata persoalan yang masih belum terjawab adalah sama ada seorang Menteri Kanan telah cuba untuk menghalang Nga Kor Ming daripada mempengerusikan sidang Parlimen.

Beliau menegaskan perbuatan seperti itu merupakan satu penyalahgunaan hak dan keistimewaan Ahli Parlimen.

“Perkara ini perlu disiasat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat. Memandangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat juga merupakan pengerusi jawatankuasa ini, beliau perlu memberikan ruang kepada Ahli-ahli Jawatankuasa yang lain untuk menyiasat perkara ini,” tambah lagi.