Malaysia Dateline

Speaker setuju pindah tempat duduk Ku Li

Setiausaha Dewan Rakyat telah diarahkan untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung permohonan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu tempat duduknya di Dewan Rakyat dipindahkan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menerusi satu surat berkata, beliau mengambil maklum permohonan Ku Li yang mahu dipindahkan berhampiran dengan blok Bebas.

“Selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat saya mengambil maklum keputusan Ahli Parlimen Gua Musang tersebut dan telah mengarahkan Setiausaha Dewan Rakyat mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, Ku Li meminta supaya kedudukannya di Dewan Rakyat dipindah ke blok Bebas yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini sejak 1986 itu berkata, beliau tidak pernah menyokong atau bersama-sama dengan kerajaan yang ditubuh menggunakan nama kerajaan PN.

Bahkan, pemimpin veteran Umno itu menegaskan pendiriannya untuk menukar tempat duduk itu kerana kegagalan kerajaan PN yang diterajui Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.