Malaysia Dateline

Speaker wakil semua ahli Dewan, sepatutnya lebih adil jika libatkan usul pembangkang

Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ariff Yusof berpendapat bahawa Speaker Dewan seharusnya bertindak dengan lebih adil apabila melibatkan hal berkaitan usul dari blok pembangkang.

Menurutnya, setiap usul yang dikemukakan blok itu tidak seharusnya ditolak mentah-mentah dengan menganggap mereka hanya mahu melakukan kekacauan.

Sebaliknya, beliau berkata, Speaker perlu bertindak bebas dengan mencerminkan kedudukannya yang mewakili kesemua ahli Dewan, dan bukannya cuba menyebelahi blok kerajaan.

“Apabila pembangkang mengemukakan usul, selalunya pihak kerajaan akan mempunyai sikap agak defensif seperti yang kita lihat. Seolah-olah mereka sahaja mesti menang, tak boleh biar pembangkang menang.

“Kita jangan anggap kalau usul dikemukakan pihak pembangkang, mereka hanya nak kacau atau nak batalkan semua yang ada. Tidak begitu.

“Perbahasan itu perlu. Demokrasi pun perlu. Kerajaan tak boleh ambil sikap ‘kami sahaja yang mengetahui sesuatu, kami tidak harus dikacau ganggu.

“Ini bukan sistem kita. Kerajaan mesti dikacau ganggu supaya semak dan imbang dapat dilakukan,” katanya dalam satu perbincangan eksklusif di Facebook Reset Malaysia malam tadi.

Ariff berkata, semasa beliau menjadi Speaker sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH), beliau telah mengusahakan untuk meminda satu peraturan tetap bagi mewujudkan hari untuk pembangkang atau ‘opposition time’.

Ini katanya, akan memberi ruang kepada pembangkang untuk mengemukakan usul-usul mereka sekaligus menyeimbangkan antara kehendak kerajaan dan pembangkang.

Bagaimanapun katanya, ia tidak dapat dilaksanakan selepas pentadbiran kerajaan digulingkan oleh Perikatan Nasional (PN) di bawah pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

“(Bayangkan) kalau menteri atau Speaker pada pagi hari menolak segala yang dibawa oleh pembangkang, siapa yang tak marah?

“Ditolak pula atas alasan-alasan yang kadang tak masuk akal. Contohnya, Ketua Pembangkang mengemukakan usul tapi ditolak kerana terlalu awal,” katanya lagi.