Malaysia Dateline

Spekulasi Husam bertanding di Gombak hanya mahu lagakan PKR, AMANAH

YouTuber, Iswardy Morni menyifatkan wujud seolah-olah usaha mahu melagakan PKR dengan AMANAH selepas beberapa ADUN AMANAH melompat ke dalam PKR.

Penyokong PKR dari Sarawak itu berkata, keputusan muktamad mengenai pemilihan calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terletak pada keputusan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Spekulasi Husam menyertai PKR sudah lama. Namun, buat masa ini tiada ketetapan Husam akan menyertai PKR lagi.

“Dan kalau dia menyertai (PKR) pun, belum tentu dia akan menjadi calon,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas spekulasi yang mendakwa bahawa Naib Presiden AMANAH, Husam Musa akan bertanding di Gombak di bawah tiket PKR.

Sementara itu, sumber dalaman PKR turut menolak kemungkinan Husam untuk bertanding di Parlimen Gombak pada pilihan raya umum akan datang.

“Mana pula datangnya (spekulasi) Husam (yang akan bertanding),” katanya kepada Malaysia Dateline.

Belum tentu

Bagi desas-desus yang tular mengatakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar akan bertanding di Ampang, Iswardy tidak menafikan spekulasi tersebut.

“Saya tidak menafikan. Tetapi yang menentukan calon bertanding adalah Presiden.

“Anwar tidak menentukan calon bertanding secara semberono. Dia berdasarkan laporan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.

“Jawatankuasa ini akan mendapat maklumat daripada setiap Majlis Perwakilan Negeri (MPN). MPN pula akan mendapat maklumat daripada setiap Cabang,” katanya.

Jelasnya, tiada siapa belum tentu menjadi calon di mana-mana kawasan melainkan setelah diberi watikah oleh Presiden parti.

“Kalau dilihat pada PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah lalu, walaupun 14 watikah dikeluarkan Presiden parti, akhirnya yang bertanding hanya tujuh,” ujarnya.