Malaysia Dateline

Spekulasi tukar MB Terengganu calar maruah Presiden Pas

Jika berlaku pertukaran menteri besar di Terengganu, tiada parti lain yang boleh mengambil kesempatan selain Pas sendiri. Ini adalah bacaan mudah berdasarkan kepada bilangan DUN yang dikuasai sebanyak 22 kerusi berbanding Umno iaitu 10 kerusi.

Namun, jika benar seperti spekulasi yang timbul iaitu Terengganu berubah menteri besar, kesan besarnya adalah kepada Pas sendiri. Maknanya memang benar telahan umum bahawa Pas dilanda perpecahan dalaman. Lebih memeritkan apabila perpecahan itu berlaku dalam negeri yang mana presidennya berasal dari situ.

Lebih memalukan kerana perpecahan itu menunjukkan sudah wujud kelunturan hormat kepada presiden yang mereka panggil ‘Ayah Chik’. Ramai yang tahu bahawa Menteri Besar Terengganu, Ahmad Shamsuri Mokhtar pernah menjadi Setiausaha Politik Hadi Awang.

Beliau tidak begitu kerap muncul dalam mana-mana media termasuk Harakah. Kemunculan yang pernah dirasai adalah semasa negara berdepan tragedi kehilangan kapal terbang MAS, MH370. Pada waktu ini, kepakaran Shamsuri dalam bidang kejuruteraan penerbangan amat diperlukan untuk mengulas tragedi tersebut.

Kemudian apabila seorang menteri Pakatan Harapan (PH) membuat cadangan tidak masuk akal untuk membuat kereta terbang, Shamsuri dengan mudah mengulas cadangan itu melalui tulisan di blognya melalui penjelasan yang lebih berwibawa dan sesuai dengan kepakarannya.

Oleh sebab agak kurang diberi perhatian media, Shamsuri juga seperti langsung tidak pernah menerima serangan politik sehinggalah orang kanan Najib Razak iaitu Lokman Noor Adam membangkitkan nama Shamsuri dalam siaran FB Live pada September tahun lalu.

Lokman mengaitkan nama beberapa pemimpin Pas termasuk Shamsuri dengan gelaran ‘Geng Publika’ kerana berkomplot dengan pimpinan Bersatu untuk menubuhkan Perikatan Nasional (PN).

Usaha tersebut, kata Lokman, sekaligus cuba membelakangkan hubungan antara Pas dengan Umno melalui Muafakat Nasional.

Sebelum ini, dalam Pas juga tidak begitu jelas kewujudan atau peranan yang dimainkan oleh Shamsuri. Tiada patah kata beliau yang menjadi sebaran dalam kalangan ahli Pas. Sukar untuk diingati bilakah ucapan atau ceramah yang pernah beliau sampaikan.

Walaupun bukan syarat penting seorang pemimpin mesti menjadi seorang pemidato yang lantang tetapi dalam Pas itulah modal untuk menarik perhatian orang ramai.

Shamsuri menjadi seorang yang sangat tidak popular sehinggalah Pas berdepan perpecahan pada 2015. Bagi menggantikan watak-watak penting bekas pimpinan Pas yang meninggalkan parti itu, Shamsuri ditonjolkan sebagai profesional yang kekal istiqamah dengan Pas.

Menjelang PRU14, beliau dicalonkan bertanding di DUN Rhu Rendang; kerusi yang telah disandang oleh Hadi Awang selama lapan penggal. Tentunya pemilihan calon pengganti di kerusi tersebut tidak dibuat secara semberono.

Malah, semasa dicalonkan Shamsuri sebagai di kerusi tersebut, kebanyakan pihak tidak melihat beliau sebagai calon ADUN semata-mata, sebaliknya lebih besar lagi adalah calon menteri besar jika Pas kembali menguasai Terengganu.

Anggapan tersebut bukan kerana tahap profesionalisme yang dimiliki Shamsuri kerana ramai lagi calon Pas yang memiliki kelayakan profesional yang agak mengagumkan. Tetapi kepercayaan Shamsuri akan menjadi calon menteri besar kerana kerusi yang dia tandingi itu adalah kerusi bekas menteri besar daripada Pas dan juga Presiden Pas.

Meletakkan Shamsuri sebagai calon di kerusi itu menunjukkan betapa tinggi tahap kepercayaan dan sayangnya Hadi Awang kepada bekas setiausaha politiknya itu. Ini juga menjadi petunjuk kepada ahli-ahli Pas lain supaya turut sama menumpahkan rasa sayang kepada Shamsuri seperti yang dirasai oleh Hadi Awang.

Ahli-ahli Pas ini mudah dibentuk kerana doktrin yang dilaksanakan oleh pimpinan mereka. Apa yang disukai oleh Hadi Awang, akan sungguh-sungguh mereka hormati dan apa yang dibenci oleh Hadi Awang, akan mereka benci lebih daripada sepatutnya.

Tetapi kini apabila berlaku spekulasi tentang pertukaran jawatan Menteri Besar Terengganu, apakah maknanya kepada Pas sendiri? Spekulasi itu tentunya sukar dibuat oleh orang luar kerana tiada kemampuan besar untuk orang lain mencaturkan langkah tersebut.

Tidaklah begitu banyak punca kenapa boleh timbul spekulasi tukar Menteri Besar itu heboh diperkatakan. Antara punca yang disebut kononnya Shamsuri bukan aktivis sejati di Terengganu. Mudah kata, dia bukan celupan (sibghah) Pas Terengganu yang asli.

Dalam Pas, tidak cukup mengakui sebagai ahli sahaja. Mesti dibuktikan lebih daripada itu. Kena buktikan daripada segi komitmen masa, tenaga dan wang ringgit yang dicurahkan dalam parti tidak kira mana-mana peringkat sekalipun.

Shamsuri tidak dilihat sebagai aktivis Pas yang sejati. Selain daripada itu, Shamsuri juga dikatakan memiliki hubungan dingin dengan pihak istana.

Akan tetapi, di Terengganu, hanya Pas dan Umno sahaja yang berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Katakanlah seluruh ADUN Terengganu daripada Umno menyatakan tidak percaya kepada Shamsuri sebagai Menteri Besar, tiada apa yang boleh berlaku. Memang inilah sifirnya.

Tiada kingmaker di Terengganu yang boleh membuat sebarang gertakan kepada Pas. Tiada teori minoriti menguasai majoriti seperti digebangkan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man di Terengganu. Lebih penting, DAP pun memiliki keupayaan yang sangat minimum untuk menggugat Pas atau menghantui tidur malam pemimpin Pas di Terengganu.

Jadi bagaimana spekulasi ini boleh muncul?

Komentar Pengerusi AMANAH Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah lebih menarik. Selepas pihaknya menafikan terlibat dengan langkah menjatuhkan Menteri Besar Terengganu, beliau membangkitkan kehairanan kerana Pas sendiri tidak menunjukkan sebarang ikrar taat setia kepada Shamsuri.

Sebaliknya, Pas lebih suka menyalahkan pihak lain apabila mengaitkan AMANAH dengan satu salinan dokumen berupa Surat Akuan Berkanun yang boleh menggugat kedudukan Shamsuri di Terengganu. Surat itu pula memerlukan tandatangan ADUN-ADUN negeri itu bagi menunjukkan kesediaan untuk menolak Shamsuri sebagai Menteri Besar.

Benar, agak aneh apabila Pas tidak bertindak seperti kebiasaan dengan membuat sesuatu yang boleh menunjukkan mereka taat setia kepada kepimpinan Shamsuri. Kalau nak berhimpun tidak boleh kerana Covid-19, buatlah taat setia secara dalam talian. Kemudian ditutupi dengan doa wehdah seperti kebiasaan.

Tetapi kebiasaan Pas ini pun tidak dibuat, sebaliknya lebih gemar memekik tidak tentu hala menyalahkan orang lain yang lalu lalang di luar rumah Pas.

Turut menguatkan penafian adalah Pengarah Komunikasi AMANAH Terengganu, Hasbie Muda apabila beliau menyifatkan Pas cuba mengambil langkah murahan untuk mengelak daripada isu yang sebenar.

Malah, beliau menasihatkan Pas menyelesaikan sendiri masalah dalaman sesama mereka berbanding mengheret pihak luar dalam krisis itu.

Umno Terengganu pula melalui Ketua Pemuda dan Ketua Penerangannya dalam kenyataan yang berasingan juga menafikan penglibatan parti itu dengan masalah yang dihadapi oleh Pas.

Pemimpin Umno itu juga malah menyatakan itu sebagai provokasi politik semata-mata dan menggesa supaya Pas memberi tumpuan kepada usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19 dan masalah hidup rakyat.

Isu tukar Menteri Besar ini tentunya bukan perkara kecil terutama apabila istana turut diheret sebagai punca kepada usaha menjatuhkan Shamsuri.

Tetapi hingga kini, Hadi Awang masih belum mengulas apa-apa tentang perkara ini. Hadi Awang kena segera sebelum kapal yang dinaiki semakin kronik akibat ditebuk dari dalam.

Tambahan pula Shamsuri adalah orang kesayangan dan kepercayaan dia. Jika Hadi Awang tidak berkata-kata sehingga kini Hadi Awang terus membisu, orang akan tertanya-tanya, “sudah hilangkah kasihmu kepada Shamsuri?”.