Spesis ikan satu-satunya dalam dunia makin pupus harus jadi daya tarikan pelancong

Spesis ikan satu-satunya dalam dunia makin pupus harus jadi daya tarikan pelancong
Khairuddin A Rahim menunjukkan ikan Betta Persephone yang ditangkapnya di aliran paya Hutan Simpan Ayer Hitam.

Spesis ikan satu-satunya dalam dunia dikenal pasti berada berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam Utara, Johor telah ditemui oleh seorang pencinta alam Mohd Ilham Norhakim Lokman.

Spesis ikan yang diberi nama saintifiknya ‘Betta Persephone’ ini dikhuatiri diancam kepupusan kerana tempat habitat mereka kini telah dirosakkan dengan penerokaan hutan di sekitarnya.

Menurut Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim, yang turun melawat tempat habitat ikan tersebut berkata, keadaan tersebut amatlah menyedihkan serta mendukacitakan.

Beliau berkata, ikan tersebut adalah aset bagi negeri untuk menarik tumpuan pelancong ke negeri ini namun ia hari ini akan mengalami kepupusan sekiranya tidak ada tindakan menyelamatkannya.

“Kalau di negara China mereka ada panda yang mana haiwan tersebut adalah satu-satunya haiwan yang wujud di negara berkenaan. Samalah situasi seperti yang berlaku pada ikan ini.

“Saya mengharapkan pihak kerajaan dapat mengambil peduli berkenaan dengan ikan ini. Ia adalah satu-satunya habitat yang hanya wujud di negeri ini.

“Misi menyelamatkan haiwan ini perlu dijalankan ke kadar segera dan kerajaan mampu untuk membangunkan kawasan ini sebagai tempat pelancongan bagi melihat habitat ini,” tegasnya.

Sebelum itu beliau turut memberi cadangan agar pihak kerajaan dapat mengambil semula tanah yang mengandungi habitat ikan tersebut serta mewartakan sebagai tapak hutan simpan paya gambut.

Selain itu pihaknya akan membawa perkara ini ke sidang Dun yang akan datang sebagai cadangan untuk menyelamatkan spesis yang hampir pupus itu.

“Selain pelancongan, ia juga boleh dijadikan tapak pendidikan kepada pelajar yang mahu mengkaji dengan lebih dalam lagi berkenaan dengan habitat haiwan tersebut.

“Hutan ini juga kaya dengan haiwan-haiwan yang mampu menarik perhatian pencinta alam seperti tapir, harimau belang, harimau akar, beruang dan reptilia yang lain.

“Seharusnya misi menyelamatkan habitat ini perlu disokong oleh pihak kerajaan agar Johor bukan sahaja mampu menarik perhatian pelancong malah menjadi tumpuan dunia dengan kewujudan spesis ikan tersebut,” tegasnya lagi ketika ditemui di tapak habitat ikan tersebut.

Dalam catatan yang lain, Mohd Ilham sebelum ini telah membawa suara berkenaan dengan kewujudan habitat ikan tersebut dan ia telah pun diiktiraf sebagai penemuan ikan yang baharu seperti yang tertera di laman sesawang ‘Wikipedia’.