Malaysia Dateline

SPM cemerlang, tahniah Radzi Jidin, tunggu Azmin pula

Selepas Menteri Pelajaran Datuk Radzi Jidin membuktikan ‘kejayaan’nya melalui keputusan SPM yang cemerlang baru-baru ini, kini rakyat menunggu keputusan ‘cemerlang’ Menteri Kanan Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula.

Perkara ini dinyatakan oleh ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi yang kini seolah-olah menjadi jurucakap Umno.

“Belum terlambat untuk mengucapkan setinggi tahniah kepada Radzi Jidin Menteri Pelajaran Malaysia.

“Keputusan SPM 2020 luar biasa walaupun bala pandemik Covid-19 juga amat luar biasa,” kata beliau.

Ucapan tahniah ini diberikan walaupun “Ada seorang dua pakar dan guru yang terkejut dan beri komen negatif,” kata Puad, “Tetapi tidak mungkin keputusan SPM 2020 dimanipulasikan. Itu Radzi kena jawab.”

Bagi beliau, “Biasalah akan ada yang was was untuk percaya berita benar. Keputusan cemerlang SPM 2020 bukan berita palsu.”

Namun, beliau bertanya, “Apakah Radzi berjaya kurangkan imej ‘Kerajaan Gagal’ yang ditanggung oleh PM 8 dengan prestasi SPM 2020 itu?”

“Kita tunggu pula kejayaan Azmin. Rakyat belum percaya, walaupun dia umum berjaya bawa masuk pelaburan asing bernilai RM80.6 Bilion tahun ini,” kata beliau.