Malaysia Dateline

SPM: GPN Sarawak 2019 catat keputusan lebih baik

Pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Negeri Sarawak mengikut nilai Gred Purata Negeri (GPN) 2019 adalah lebih baik daripada tahun 2018.

GPN pada tahun 2019 telah mencatatkan 5.18 berbanding 5.19 pada tahun 2018.

Menurut Pengarah Pendidikan Sarawak Dr Azhar Haji Ahmad, daripada 65 mata pelajaran yang diambil oleh calon sekolah negeri Sarawak, 59 (90.77%) mata pelajaran mencapai peratus kelulusan melebihi 80%, daripada jumlah itu, 25 (38.46%) mata pelajaran mencapai kelulusan 100%, 27 (41.54%) mata pelajaran mencapai kelulusan 90 hingga 99.9% sementara 7 (10.77%) mata pelajaran mencapai kelulusan 80 hingga 89.9%.

“Sebahagian besar sekolah di Sarawak dapat dirumuskan sebagai berada dalam kategori pencapaian sekolah Cemerlang, Baik dan Memuaskan, sebanyak 2 buah sekolah (1.08%) telah memperoleh pencapaian Cemerlang berbanding hanya sebuah sekolah (0.55%) pada tahun 2018.

“34 buah sekolah (18.38%) memperoleh pencapaian Baik dan 146 buah sekolah (78.92%) memperoleh pencapaian Memuaskan iaitu sama dengan pencapaian 2018, manakala, 3 buah sekolah (1.62%) sahaja yang memperoleh Pencapaian Berpotensi,” katanya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Tambah beliau, brrdasarkan kepada Prestasi Pencapaian Sekolah,
Gred Purata Sekolah (GPS), 21 buah Sekolah Menengah Negeri Sarawak berjaya mencapai GPS 4.00 dan ke bawah berbanding hanya sebanyak 19 buah pada tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak 10.53%.

“Antara Sekolah Menengah yang mencapai gred yang teratas di negeri Sarawak ialah Sekolah Menengah Sains Kuching Utara, Padawan dengan nilai GPS 1.91, diikuti oleh Sekolah Menengah Sains Miri dengan nilai GPS 2.04, SMK St Elizabeth, Sibu dengan nilai GPS 2.42, SMK Sacred Heart, Sibu dengan nilai purata GPS 2.80 dan Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah, Kuching dengan nilai GPS 2.83,” jelasnya lagi.