Malaysia Dateline

SPR akan bermesyuarat bincang PRN12 Sarawak

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang bakal diadakan dalam masa terdekat ini.

Menurut Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak, bagaimanapun tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan nanti.

“Suruhanjaya Pilihan Raya telah menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan Proklamasi Darurat (Sarawak) P.U. (A) Seksyen 2 (2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 (P.U.(A)324.

“Berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri (DUN) hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diiungkaikan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas beliauagi, di bawah Seksyen 3(4) Ordinan yang sama, berkehendakkan, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

Semalam, Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Sarawak pada 29 Julai 2021 dibatalkan berkuat kuasa 3 November 2021. .

Perkara itu disahkan mengikut Warta Kerajaan Persekutuan Proklamasi Darurat (Sarawak) (Pembatalan 2021) dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada Rabu.

Pembatalan Darurat (Sarawak) dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong mengadakan rundingan dengan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Bahawasanya Beta berpuas hati bahawa keperluan Proklamasi Darurat (Sarawak) itu telah berakhir dan suatu tindakan untuk membatalkan Proklamasi Darurat itu adalah dikehendaki:

“Dan bahawasanya selaras dengan Fasal (1) dan (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan BETA boleh membatalkan suatu Proklamasi Darurat:

Maka oleh yang demikian, Beta Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ini Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dengan Kurnia Allah, Yang di-Pertuan Agong bagi Negeri-Negeri dan wilayah-wilayah Malaysia, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada Beta sebagaimana yang tersebut di atas, setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri Sarawak menurut subseksyen 2(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 [P.U. (A) 324/2021], membatalkan Proklamasi Darurat (Sarawak)”.

Warta itu dikeluarkan berdasarkan peruntukan Fasal (1) dan (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Istana Negara pada tarikh yang sama.