Malaysia Dateline

SPR berat sebelah lakukan proses persempadanan semula Dun Selangor,kata Exco

Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan proses persempadanan semula di Dun Selangor bertentangan dengan undang-undang selain dilihat tidak wajar dan berat sebelah.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, perkara itu menunjukkan SPR melakarkan kawasan sempadan mengikut sokongan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) yang lalu.

“Terdapat kawasan majoritinya daripada satu kaum sahaja, ada yang banyak cina manakala ada juga kawasan banyak melayu.

“Cara mereka menggariskan sempadan ini sebenarnya hanya untuk menangkan sesuatu kumpulan politik sahaja seperti Dun Kota Alam Shah dan Pelabuhan Klang yang terlibat,” katanya seperti dilapor Selangor Kini hari ini.

V. Ganabathirau

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan SPR membuat persempadanan semula Dun di Selangor.

Terdahulu, timbul isu beberapa kawasan Dun dikuasai Pakatan Harapan (PH) di Selangor dilabelkan ‘super Dun’ apabila mengalami pertambahan besar jumlah pengundi sehingga mengatasi pengundi di beberapa Parlimen dikuasai Umno-BN.

Ganabatirau yang juga Adun Kota Alam Shah berkata, proses itu juga membantu pihak tertentu meraih sokongan dengan menggunakan isu perkauman.

“Apa yang pasti, mereka bukan setakat menumpukan sesuatu kaum sahaja di kawasan itu malah memindahkan kaum lain bagi meraih undi yang banyak. Saya percaya pihak SPR telah menyalahgunakan kuasa mereka dan tidak telus dalam perkara ini.

“Ini menunjukkan pihak SPR tidak berhemah, berintegriti dan menjadi alat kepada pihak yang berkepentingan dan terdesak seperti Umno-BN yang sanggup melakukan apa sahaja,” katanya.

Menurutnya, isu itu melakarkan ketidakharmonian untuk pengundi dari pelbagai peringkat dengan menggunakan cara yang jijik dan tidak baik.

“Justeru itu, saya menyarankan warga Selangor menolak segala jenis kezaliman ini dan mereka perlu celik dan sedar dengan melawan balik secara berhemah dan demokrasi kerana nasib masa depan negara di tangan mereka.

“Segala percubaan Selangor juga banyak digagalkan. Maka, saya menyeru supaya rakyat dapat menolak kuasa ghairah dan korupsi ini yang sanggup menggunakan institusi kerajaan demi kepentingan politik,” katanya.