Malaysia Dateline

SPR bincang tarikh PRK Tanjung Piai pada 1 Oktober depan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membincangkan tarikh bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) berhubung kekosongan kerusi Tanjung Piai, Johor berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik.
Setiausahanya, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, tarikh-tarikh penting PRK akan diputuskan dalam Mesyuarat Khas yang akan diadakan pada 1 Oktober depan, bertempat di Ibu Pejabat SPR, Menara SPR, Putrajaya.
“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md Yusof pada 23 September, berhubung kekosongan luar jangka kerusi Dewan Rakyat Kawasan Parlimen P.165 Tanjung Piai.
“Dengan itu, Mesyuarat Khas akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya.
“(akan juga membincangkan) Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, beliau juga berkata, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut.
Mengikut peruntukan undang-undang, SPR perlu mengadakan satu pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen tersebut di dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.