SPR buat kerja ‘gila’ daftar pengundi di kuarters kem tentera belum siap,kata PKR

SPR buat kerja ‘gila’ daftar pengundi di kuarters kem tentera belum siap,kata PKR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Pertahanan Malaysia (KPM) digesa menunjukkan bukti mengenai pembangunan projek Kem Tentera Darat di Bera sama ada telah beroperasi untuk menempatkan seramai 1,234 anggota tentera dan pasangan mereka yang dipercayai telah menduduki kawasan kem berkenaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Zakaria Abdul Hamid dalam kenyataan hari ini berkata, kegagalan pembuktian oleh SPR dan Kementerian Pertahanan akan menjejaskan lagi persepsi rakyatterhadap ketelusan SPR dan Kementerian Pertahanan.

” SPR akan dilihat tidak bersih dengan bertindak atas arahan pihak kerajaan Barisan Nasional demi kepentingan survival politik mereka.

“Tinjauan kami ke lokasi kem mendapati tiada tanda-tanda kem telah beroperasi dan kami tidak dibenarkan masuk untuk meninjau kuarters tentera atas alasan kawasan larangan,” ujarnya dalam kenyataan itu.

Sebelum itu Zakaria yang juga Ketua Cabang PKR Bera mengiringi sekumpulan pembantah untuk pendengaran Siasatan Awam Bantahan Daftar Pemilih Baharu pagi ini bagi lokaliti Kem Bera yang menempatkan 1,234 pengundi tentera.

Pendengaran di hadapan Pendaftar SPR Pahang Datuk Zamree Hamli, bantahan itu telah ditolak dengan kos dan Orang Kena Bantah (OKB) telah dimasukkan kedalam daftar pemilih.

Bantahan dibuat berpandukan keadaan fizikal kem tersebut yang masih dalam pembinaan, dah dijangka siap pada Julai 2018.

Selepas penghakiman menolak bantahan, Pendaftar SPR telah memaklumkan kepada hadirin bahawa alasan penolakan adalah kerana SPR mempercayai kesemua pemilih tentera bersama pasangan mereka menginap di kem tersebut dan kem tersebut telah beroperasi sepenuhnya.

Daripada papan keterangan projek Kementerian Pertahanan di tapak projek pembinaan jelas menunjukkan Kem Tentera Bera tersebut dijangka siap pada 3 Julai 2018 sejak projek pembinaan dimulakan pada Julai 2017.

Sedangkan kemungkinan pilihan raya umum (PRU) akan diadakan selewatnya sebelum Jun 2018 berakhirnya penggal pemerintahan BN.

7.5
OVERALL SCORE
3 user votes x 10.0