SPR cadang jumpa KPM, bincang modul pendidikan mengundi

SPR cadang jumpa KPM, bincang modul pendidikan mengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pendidikan bagi membincangkan penyediaan modul pendidikan pengundi kepada pelajar sekolah.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, berkata, modul tersebut untuk memberi pemahaman mengenai demokrasi dan pilihan raya sejak awal usia.

Menurutnya, pendidikan mengenai demokrasi dan pilihan raya perlu didedahkan sejak awal supaya mereka lebih bersedia dan memahami proses itu pada awal persekolahan.

“Kita boleh ambil contoh seperti di Australia yang mana pendidikan pengundi sudah dimulakan ketika mereka berada di Tahun Tiga iaitu ketika berumur sembilan tahun.

“Pada umur itu mereka sudah tahu dan didedahkan mengenai hak mengundi, proses pengundian dan sebagainya.

“Jadi, sebab itu saya fikir kita boleh bincang dengan Kementerian Pendidikan untuk masukkan sedikit modul mengenai demokrasi, pilihan raya, dan hak mengundi bagi memberi pendedahan kepada pelajar di negara ini sejak di awal usia,” ujarnya.

Beliau turut berkata, modul yang akan dibincangkan tidak akan berpihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

“Modul yang kita nak bincang, saya berjanji supaya tidak ada tohmahan. Kita akan adakan (perbincangan modul) selepas libat urus dengan kedua-dua pihak. Kita nak hasilkan modul yang tak berat sebelah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Forum Make A Change, Let’s Do it Together, anjuran SPR, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Sementara itu, SPR mengumumkan Pelan Reformasi Pilihan Raya dengan menubuhkan enam Jawatankuasa Dasar yang diketuai oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli SPR untuk menambahbaik sistem pilihanraya negara.

Azhar Harun berkata jawatankuasa tersebut terdiri dari Jawatankuasa Persempadanan Pilihan Raya, dan Jawatankuasa Pendaftaran Pemilih.

Selain itu, ia turut melibatkan Jawatankuasa Pengundi Tidak Hadir, Jawatankuasa Kesalahan Pilihan Raya, Jawatankuasa Proses Pilihan Raya dan Jawatankuasa Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) yang telah diberi mandat mengkaji sistem dah undang-undang pilihan raya serta membuat cadangan penambahbaikan yang bersesuaian.

“Jika diteliti situasi pendaftaran pemilih sebelum had umur pemilih diturunkan ke 18 tahun, antara faktor ramai warganegara yang layak tapi tidak mendaftar sebagai pemilih adalah kerana kaedah pendaftaran pemilih sedia ada.

“Ini kerana ia dilihat kurang sesuai dimana mereka perlu hadir sendiri untuk mendaftar dan ianya dilihat kurang praktikal dan tidak selari dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.