SPR dah jadi alat menangkan BN?

 

Rata-rata netizen melahirkan rasa terkejut apabila SPR telah mengumumkan tarikh pengundian bagi PRU 14 adalah pada hari Rabu, 9 Mei 2018. Ini kerana kali terakhir tarikh mengundi yang dibuat pada hari Rabu adalah bagi pilihan raya umum tahun 1955 dan 1959.

Mengundi pada hari Rabu mendatangkan banyak masalah kepada pengundi kerana hari Rabu adalah hari bekerja. Pengundi perlu mengambil cuti untuk pergi mengundi.

Majikan pula terpaksa memberikan pelepasan kepada pekerja untuk keluar mengundi. Ini akan menurunkan produktiviti ekonomi negara.

Ada juga pengundi yang bermastautin di ibu kota terpaksa balik ke kampung untuk mengundi. Ini akan menyebabkan mereka terpaksa mengambil cuti yang panjang sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hari iaitu satu hari hari perjalanan pulang, satu hari mengundi dan satu hari untuk pulang semula ke ibu kota. Jika hari mengundi ditetapkan pada hari Sabtu atau hari Ahad, kesusahan ini sedikit sebanyak boleh diatasi.

Pengerusi Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan juga berkongsi perkara yang sama. Beliau dilaporkan berkata bahawa pekerja memerlukan beberapa jam untuk membuang undi jika berdekatan dengan rumah atau sepenuh hari jika perlu keluar bandar untuk membuang undi.

Produktiviti dijangka akan berkurangan sehingga 30% jika sebahagian besar pekerja mengambil cuti atau memohon cuti tahunan.

Apakah puncanya tarikh hari mengundi ditetapkan pada hari Rabu tidak dijelaskan oleh SPR. Menurut Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan, apabila Parlimen dibubarkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

Parlimen dibubarkan tanggal 7 April 2018 yang lepas. Ini bermakna tempoh 60 hari itu akan berakhir pada 5 Jun 2018. Ramai yang menjangka tarikh mengundi akan ditetapkan pada 6 Mei 2018 (Ahad) atau 13 Mei 2018 (Ahad) memandangkan umat Islam akan memulakan puasa bulan Ramadhan pada 18 Mei 2018.

Namun, nampaknya pertimbangan kesusahan pengundi tidak berada dalam perkiraan SPR. Mengundi pada hari Rabu dijangka akan menurunkan peratusan mengundi. Ini kerana ada pengundi yang pasti tidak dapat turun mengundi disebabkan masalah kerja. Contohnya, pilihan raya pada 29 November 1999 yang dibuat pada hari Isnin menunjukkan peratusan turun mengundi adalah hanya 69.3% berbanding peratusan mengundi pada 5 Mei 2013 yang jatuh pada hari Ahad menunjukkan peratusan turun mengundi adalah sebanyak 84.4%.

Mungkin BN telah belajar daripada kesilapan mereka menetapkan hari mengundi pada hari Ahad yang akan memberikan kelebihan kepada pembangkang seperti mana yang berlaku pada PRU 13 itu di mana BN telah mengalami kemerosotan undi popular yang besar dan telah kehilangan banyak kerusi Parlimen kepada pembangkang.

Ada kajian yang mengatakan bahawa persempadanan semula kawasan pilihan raya baru-baru ini akan boleh memenangkan BN dengan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen meskipun BN hanya mendapat undi popular 40% dengan syarat peratusan turun mengundi adalah kurang daripada 75%.

Rata-ratanya pengundi luar kawasan ini banyak di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor. Ramai pengundi Kelantan, Terengganu dan Kedah bekerja di Kuala Lumpur manakala ramai pengundi di Johor bekerja di Singapura dengan anggaran seramai 300 ribu orang (The Star: 22/4/2016). Umum mengetahui bahawa Johor adalah menjadi negeri tumpuan Pakatan Harapan.

Melihat kepada tindak-tanduk SPR bermula dengan proses persempadan semula kawasan pilihan raya yang memihak kepada BN, klasifikasi pengundi pos sehinggalah kepada penetapan tarikh mengundi ini nampaknya SPR telah menjadi alat untuk memenangkan BN.

Entah apa lagi dalam perkiraan SPR untuk memenangkan BN dalam PRU 14 ini. Jika SPR berterusan berperangai begini maka tentulah pesta demokrasi yang dibuat ini adalah tempang. Pembangkang terus diikat tangannya manakala BN dibiarkan untuk menumbuk pembangkang dalam keadaan tangan diikat. Ini menjejaskan proses pilihan raya yang adil.

Dengan demokrasi yang tempang ini hanya satu sahaja pilihan rakyat Malaysia iaitu menjatuhkan BN dengan apa cara sekali pun. Pengundi mesti bersatu hati untuk menumbangkan BN. Jika pengundi secara besar-besaran menolak BN maka apa jua tipu helah BN dan SPR ini tidak akan mendatangkan sebarang faedah kepada mereka.

Maka, ingatlah tarikh mengundi pada 9 Mei 2018 akan kita sama-sama menjatuhkan BN dan menaikkan PH sebagai sebuah kerajaan baharu yang akan membawa Malaysia sebagai sebuah negara yang gemilang dan terbilang.

CATEGORIES
TAGS