Malaysia Dateline

SPR digesa bincang dengan wakil politik semak semula SOP kempen

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan perbincangan dengan kesemua wakil parti politik untuk menyemak semula SOP yang dilaksanakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Ini kerana katanya, banyak peraturan SOP yang dilaksanakan di Melaka ini memang tidak masuk akal, khususnya peraturan yang melarang kempen pilihanraya, malah termasuk lawatan dari pintu ke pintu oleh calon dan pegawai mereka.

Teresa juga mempersoalkan kenapa gambar ataupun bill board Ahli Parlimen Pagoh selaku ketua parti dibenarkan didirikan di seluruh negeri Melaka sedangkan peraturan SPR menetapkan hanya gambar calon dibenarkan untuk dipaparkan sahaja?

“Kenapakah YB Pagoh diberi kebenaran untuk menegakkan billboardnya di seluruh Melaka, bukankah ini “double standard”? soalnya.

Selain itu, beliau juga menyeru supaya kertas undi dicetak berwarna supaya pengundi dapat mengenalpasti logo parti politik dengan jelas.

Katanya, logo dalam “hitam putih” tidak memberi gambaran yang jelas kepada pengundi khususnya pengundi yang tidak mempunyai penglihatan yang baik.

Beliau berkata demikian semasa Perbahasan Bajet Bagi Jabatan Perdana Menteri di Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.