SPR disaran batalkan peraturan menyukarkan calon bertanding

SPR disaran batalkan peraturan menyukarkan calon bertanding

Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab (gambar atas) menyarankan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan peraturan pilihan raya yang menyusahkan calon yang bertanding.

Katanya, kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang meminta calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti mesti mengemukakan nama ajen tempat mengundi dan ejen mengira undi pada hari penamaan calon mengejutkan semua pihak.

Ini kerana jelasnya, ianya tidak pernah termaktub dalam undang-undang dan peraturan pilihan raya yang dibuat oleh SPR dan kerajaan sendiri.

Tindakan ini tambahnya, merupakan peraturan yang mahu diperkenalkan oleh SPR sendiri yang sebenarnya menimbulkan pelbagai masalah kepada calon-calon yang bertanding dan juga ejen-ejen yang dilantik oleh calon itu sendiri.

“Calon-calon sudah tentu menghadapi masalah untuk menamakan sebegitu ramai ejen-ejennya yang perlu bertugas pada hari pengundian kerana jumlahnya yang agak ramai di mana setiap saluran memerlukan sekurang-kurangnya dua atau tiga orang.

“Bayangkan jika calon tersebut bertanding di sesuatu kawasan parlimen yang banyak Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan jumlah pengundi yang ramai yang menyebabkan bilangan saluran di setiap PDM bertambah.

“Sebagai contoh Parlimen Kota Melaka yang dikatakan mempunyai bilangan pengundi sehingga 120,000 selepas persempadanan baru kawasan pilihan raya diluluskan, sudah tentu mempunyai banyak PDM dan saluran.

“Sudah tentu jumlah ejen yang diperlukan akan melebihi 500 orang untuk kawasan parlimennya,” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Kata Sofi, ada PDM yang mempunyai sehingga lebih daripada lima saluran dan ini sudah tentu menyukarkan calon untuk mengenal pasti nama-nama ejennya dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon.

Sudah menjadi amalan yang biasa bahawa ejen-ejen tempat mengundi dan mengira undi akan tampil selepas hari penamaan calon kerana bagi mereka semangat hanya datang selepas hari penamaan calon iaitu selepas mereka mengetahui siapa calon yang akan bertanding pada sesuatu konstituensi tertentu, kata Ketua AMANAH Bukit Katil itu.

Menurutnya, pada kebiasaannya calon-calon itu sendiri akan diumumkan pada saat-saat akhir sudah tentu dalam masa dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon sudah tentu seeorang calon itu tidak sempat untuk mencari dan melatih ejen-ejennya yang begitu ramai.

Maka sudah tentu calon-calon ini berhadapan dengan masalah besar, jelasnya.

“Selain itu perlantikan agen tempat mengundi, barong dan ejen mengira undi pada hari penamaan calon juga menimbulkan masalah kerana mereka akan terdedah kepada banyak perkara-perkara yang tidak baik yang mungkin dilakukan kepada mereka.

“Antaranya mereka mungkin disogok supaya tidak datang bertugas pada jadual yang ditetapkan ataupun mereka diminta bertugas secara sambil lewa dan membiarkan sahaja apa-apa penyelewengan yang mungkin berlaku.

“Masa yang lama dari hari penamaan calon dan hari pengundian memungkin perkara-perkara tidak baik ini berlaku pihak tertentu yang berniat jahat mempunyai masa yang panjang untuk melakukan ugutan, sogokan dan sebagainya,” kata beliau.

Ujarnya lagi, peraturan ini juga sebenarnya menambahkan lagi persepsi buruk terhadap SPR kerana ramai pihak beranggapan SPR mempunyai agenda tertentu yang tidak baik di samping memberikan kelebihan kepada pihak yang berkuasa dan mempunyai kemampuan kewangan yang banyak.

“Peraturan sedia ada tentang perlantikan ejen tempat mengundi dan mengira undi dikiran sudah menjadi amalan terbaik dan memudahkan calon dan ejen-ejennya.

“Janganlah kita mengubah peraturan yang sudah digunakan puluhan tahun dan ianya terbukti berkesan dan tidak perlu kepada pnambahbaikam yang sebenarnya menyusah dan menyulitkan pihak-pihak tersebut.

“Oleh itu saya mengharapkan SPR membatalkan peraturan yang tidak memberikan impak positif kepada sistem pilihan raya ini demi memberikan keadilan dan kesempatan kepada calon-calon dan parti-parti yang bertanding bersedia sepenuhnya.

“Tidak ada gunakan SPR memperkenalkan undang-undang dan peraturan baru jika ianya tidak memberikan kebaikan dan keadilan kepada parti-parti politik dan rakyat terbanyak,” kata Sofi.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES