Malaysia Dateline

SPR disaran guna undi pos untuk pengundi di luar Sarawak, Sabah

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran untuk menimbangkan menggunakan kaedah undi pos kepada rakyat Sarawak dan Sabah yang tinggal di Semenanjung.

Pengerusi Bersih Sarawak, Ann Teo (gambar) berkata, kaedah tersebut haruslah dipraktikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN)akan datang bagi rakyat kedua-dua rakyat negeri ini dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Ann Teo

Jelasnya, kaedah berkenaan juga akan memudahkan rakyat Sarawak dan Sabah yang tinggal, menyambung pengajian atau bekerja di negeri-negeri lain di Malaysia.

“SPR harus mewartakan pengundi Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung sebagai kumpulan pengundi pos yang baharu.

“Perkara inilah yang telah dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum 2018 yang lepas dalam usaha untuk melebarkan lagi kaedah pengundian pos.

“Ia termasuk ke atas sembilan agensi kerajaan termasuk Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, Penguatkuasa Maritim, Sukarelawan Polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pengurusan Bencana yang bertugas semasa hari pengundian,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Teo, Bersih Sarawak juga menuntut agar SPR turut memperluas kaedah pengundi pos ini kepada rakyat Malaysia terutamanya rakyat Sarawak yang bakal mengundi pada PRN selewat-lewatnya pada Jun 2021).

“Malah, kita turut berharap agar rakyat Sabah yang akan menghadapi pilihan raya negeri dalam tempoh masa 60 hari yang tinggal atau bekerja di negara-negara ASEAN seperti Brunei, Singapura, Selatan Thailand, dan Kalimantan, Indonesia dapat mengundi nanti,” tambah beliau.

Berikutan pandemik COVID-19 yang sedang berlaku pada masa sekarang, ujarnya turut menghalang rakyat Sabah dan Sarawak untuk balik mengundi.

Katanya, dengan risiko kesihatan dan masalah pengangkutan awam, tambang untuk terbang ke kampung halaman menyeberangi Laut China Selatan kini agak mahal kerana permintaan yang kurang dari pelanggan menyukarkan lagi pengundi untuk balik ke kawasan masing-masing.

“Ekoran situasi ini telah menyebabkan sebahagian besar rakyat Sarawak dan Sabah tidak dapat menunaikan hak demokrasi mereka untuk memilih wakil rakyat dan menentukan masa depan nasib negeri mereka sekiranya undi pos tidak digunapakai kepada mereka,” ujar Teo.

Pada masa sama, beliau melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab berkenaan undang-undang yang menolak kebarangkalian bahawa rakyat Sarawak yang tinggal di Semenanjung untuk mengundi menggunakan kaedah undi pos.

“Menteri tersebut menyatakan bahawa tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan pengundi Sarawak yang tinggal di luar Sarawak untuk mengundi menerusi undi pos.

“Ini kerana di bawah Peraturan 3 (1)(e) Peraturan Pilihanraya ( Undi Pos) Peraturan 2003 menyatakan bahawa mana-mana individu yang sudah mendaftarkan diri sebagai pengundi di bawah Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pengundi) 2002 dan merupakan ‘ahli kumpulan masyarakat yang telah digazetkan sebagai pengundi pos oleh SPR dari semasa ke semasa dan telah diumumkan’ seharusnya menerima kertas undi pos dan berhak untuk menjadi pengundi pos selari dengan peraturan ini,” soalnya.