Malaysia Dateline

SPR hantar 29,663 kad pengundi menjelang PRK Kimanis 

Sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan inisiatif penghantaran kad pengundi (voter’s card) kepada 29,663 orang  yang meliputi 29,654 orang pengundi biasa dan sembilan orang pengundi awal.

Menurut Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun, pengundi yang telah menerima kad pengundi tidak perlu lagi membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih.

“Ini kerana kedua-dua maklumat yang berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut. SPR telah mengedarkan kad tersebut mulai semalam kepada semua pengundi bagi PRK Parlimen P.176 Kimanis, Sabah.

“SPR menegaskan bahawa pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan dilakukan.

“Bagi mana-mana pengundi yang tidak menerima kad berkenaan, boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan.

“Semakan boleh dibuat melalui portal SPR pengundi.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR <jarak> SEMAK <jarak> NOMBOR KAD PENGENALAN hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Untuk makluman, kad tersebut mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi.

Maklumat tersebut akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal pada 14 Januari 2020 dan hari mengundi biasa pada 18 Januari 2020.

Memetik laporan Astro Awani, Pilihan raya tersebut diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menjadikan ia PRK ke-10 selepas PRU14.

Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.

Beliau memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail menerima 1,300 undi.

Kerusi P176 Parlimen Kimanis merangkumi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Membakut dan Bongawan.