SPR kena tangguhkan pengundian bagi Parlimen Padang Serai

Oleh KIM SYAZIE

Sebagai peguam yang agak banyak juga mengendalikan kes petisyen pilihan raya, secara relatif, saya agak biasa juga dengan pelbagai undang- undang pilihan raya.

Tetapi, jujurnya saya tidak pernah berhadapan dengan isu kematian calon pilihan raya selepas proses penamaan calon tetapi sebelum hari pengundian.

Dengan kematian calon PH (PKR) bagi parlimen Padang Serai, kini timbul isu perundangan yang baru.

Adakah SPR patut meneruskan hari pengundian pada Sabtu ini atau patut menangguhkannya?

Dalam kalangan pengamal undang-undang, depa tidak sependapat.

Ada yang berpendapat pengundian di Padang Serai itu hendaklah diteruskan.

Antara pemegang mazhab ini adalah pemimpin Umno-BN seperti Azalina Othman.

Ada pula yang berpendapat sebaliknya, contohnya mantan hakim dan peguam terkenal iaitu Gopal Sri Ram.

Mazhab seperti Umno-Azalina habaq pengundian di Padang Serai perlu diteruskan kerana dia berpendapat pengundian awal bagi polis dan angkatan tentera dan pasangan depa telah dijalankan pada 7 dan 15 haribulan.

Oleh itu, kata dia, pengundian perlu diteruskan Sabtu ini di Padang Serai.

Depa berbeza pendapat kerana berbeza pandangan tentang tafsiran peraturan 11 (6) Peraturan (perjalanan pilihan raya) Pilihanraya 1981.

Dengan hormat, saya tidak boleh menerima pandangan tersebut.

Saya juga berpendapat pandangan mazhab tersebut agak tidak munasabah kerana depa memilih tafsiran secara harfiyah/ literal tanpa mengambil kira tafsiran yang sebegitu berpotensi untuk depa melupai begitu sahaja tujuan, matlamat dan falsafah pilihan raya itu sendiri iaitu menghormati suara dan pilihan rakyat! Dalam bahasa latin suara rakyat dipanggil “vox populi”

Tetapi mengambil kira Umno yang boleh bersekongkol dengan festival pengkhianatan undi rakyat melalui “Langkah Sheraton”, pandangan Azalina atau Umno itu mungkin bukanlah luar biasa.

Apapun, jika SPR diandaikan menerima mazhab pemikiran
Umno itu, maka SPR akan dilihat sengaja tidak menghormati hasrat dan suara rakyat yang mungkin ingin memilih calon dari PH di Padang Serai.

SPR juga berpotensi dilihat seolah-olah gagal melaksanakan tanggungjawab perlembagaannya bagi menjamin pilihan raya yang adil dan bebas dapat dilakukan.

Adakah wajar kehendak dan pilihan rakyat bagi mengundi calon parti pilihan depa dimatikan begitu sahaja hanya kerana kematian calon yang berlaku di luar kawalan mana- mana pihak?

Saya hujahkan frasa “SPR hendaklah membatalkan notis pengundian (the EC shall countermand the notice for the poll) di bawah peraturan 11 (6) Peraturan yang berkenaan mengakibatkan SPR tidak ada pilihan selain daripada menangguhkan tarikh pengundian pada hari sabtu ini bagi kerusi Parlimen Padang Serai.

Bagi saya, itulah tafsiran yang paling munasabah apatah lagi dalam undang-undang perkataan “shall” sering ditafsirkan sebagai wajib – wajib tangguhkan!