SPR kesal kewujudan barong ‘panas’ di PRK Rantau

SPR kesal kewujudan barong ‘panas’ di PRK Rantau

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Azhar Azizan Harun memaklumkan, pihaknya kurang berpuas hati dengan disiplin calon dan penyokong parti politik berhubung kewujudan barong di beberapa pusat mengundi.

Menerusi pemerhatian pihaknya, Azhar berkata terdapat dua barong panas didirikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Sri Sendayan.

Azhar berkata, beliau telah pergi ke SJKT Bandar Sri Sendayan dan mengesan hanya satu barong beroperasi di sana.

“Saya telah menyuruh mereka menghentikannya dan hanya selepas itu, baru mereka mengikut arahan saya.

“Sedangkan semakan pengundi ini dah tak perlu. Mereka boleh menyemak nama di laman sesawang rasmi SPR.

“SPR juga ada barong sendiri di setiap pusat daerah mengundi bagi membolehkan maklumat undian diperiksa oleh pengundi, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media SPR selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Nyatoh, hari ini.

Dalam perkembangan sama, mengulas mengenai disiplin calon, Azhar berkata sekiranya terdapat lagi calon yang masih berkempen, pihaknya memohon melaporkan kesalahan itu kepada pihak polis.

“Kalau betul ada calon yang masih meraih atau merayu undi pada hari ini, saya minta tolong laporkan perkara itu kepada polis berserta rakaman video,” jelasnya.

Sementara itu, setakat jam 11 pagi tadi, peratusan keluar mengundi adalah 38 peratus, dan pada PRK kali ini, SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi adalah seramai 70 peratus.