SPR lapor polis dan SKMM tular kertas undi pos

SPR lapor polis dan SKMM  tular kertas undi pos

 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini membuat laporan ke atas penularan gambar kertas undi pos yang dikeluarkan suruhanjaya itu

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata. berikutan penularan gambar kertas undi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.078 Cameron Highlands di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, SPR mendapati bahawa gambar tersebut adalah kertas undi pos yang telah dikeluarkan kepada pengundi pos pada 13 Januari lalu.

“SPR menegaskan bahawa tindakan penularan gambar kertas undi tersebut merupakan satu kesalahan dan tuduhan pihak tertentu yang mengatakan bahawa SPR telah mengeluarkan kertas undi sebelum hari pengundian adalah merupakan satu fitnah dan berniat jahat.

“Sehubungan dengan itu, SPR telah membuat laporan polis pada hari ini dan juga akan membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya dalam kenyataan hari ini

Dalam kenyataan itu SPR turut mengingatkan kepada para pengundi dan semua pihak agar sentiasa menjaga kerahsiaan dan tidak mempamerkan kertas undi mana-mana pilihan raya kepada umum sama ada di laman media sosial dan lain-lain.

Ini kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan tersebut sekiranya disabit boleh dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.

Sejak beberapa hari lalu tular kertas undi yang mengaitkan dengan PRK Cameron Highlands di media sosial yang mana netizen mendesak SPR memberikan penjelasan. Ini kerana dakwaan kertas undi itu dikeluarkan sebelum hari pengundian pada 26 Januari ini.