SPR mesyuarat 13 Mei bincang PRK Kuala Kangsar, Sungai Besar

SPR mesyuarat 13 Mei bincang PRK Kuala Kangsar, Sungai Besar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 13 Mei ini bagi membincangkan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata pihaknya telah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kedua-dua kerusi itu daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 6 petang semalam.

“Sehubungan dengan itu, selaras dengan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan telah wujud kekosongan luar jangka dan bagi mengisi kekosongan kerusi P.067 Kuala Kangsar dan P.093 Sungai Besar, SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan semua perkara berkaitan Pilihan Raya Kecil tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini Selasa.

Kekosongan itu berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau Sarawak 5 Mei lepas.

Menurutnya mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah selaku Pengerusi SPR.

“(Mesyuarat Khas itu) akan membincangkan tarikh-tarikh penting seperti tarikh kekosongan kerusi parlimen berkenaan, hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dalam PRK itu dan persiapan lain yang diperlukan,” kata Abdul Ghani.

Allahyarham Noriah dan Wan Mohammad merupakan antara enam mangsa kemalangan helikopter jenis Eurocopter AS350 yang terhempas dekat Sebuyau Khamis lepas iaitu ketika dalam penerbangan dari Betong ke Kuching.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai serta juruterbang helikopter Kapt Rudolf Rex Ragas.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata UMNO sudah mengenal pasti beberapa individu berpotensi untuk disenaraikan sebagai calon PRK Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi, manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar menewaskan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim, Bebas dengan majoriti 1,082 undi.

TAGS