SPR mesyuarat Khamis bincang PRK Tanjong Datu

SPR mesyuarat Khamis bincang PRK Tanjong Datu

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis ini di sini berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, Sarawak, kata Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung kekosongan kerusi DUN Tanjong Datu itu hari ini berikutan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari, lepas.

Beliau berkata mesyuarat itu akan membincangkan perkara berkaitan urusan PRK DUN Tanjong Datu termasuk tarikh penting seperti Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian Awal, Hari Pengundian serta Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu.

“Mesyuarat itu juga akan membincangkan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat khas berkenaan akan diadakan di Ibu Pejabat SPR, Menara SPR di sini bermula 9.30 pagi, katanya.

Adenan meninggal dunia kerana komplikasi jantung pada usia 72 tahun, Rabu lepas di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan, Sarawak.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawal Ke-11 pada Mei tahun lepas, Adenan yang mendapat 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan yang meraih 468 undi, dengan majoriti 5,892 undi. Calon PKR itu hilang deposit.

Adenan adalah penyandang kerusi Tanjong Datu sejak PRN 2006.

SPR tunggu pemakluman rasmi Speaker Dun Selangor
Dalam perkembangan terkini SPR juga akan memaklumkan keperluan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Selangor berikutan kematian wakil rakyatnya selepas menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata SPR mengambil maklum laporan mengenai kematian penyandang kerusi berkenaan Kamarol Zaki Abdul Malik hari ini.

Berikutan itu, SPR akan menunggu pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor mengenai kematian itu dan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan selaras dengan peruntukan Perkara LXX (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, katanya.

Menurutnya, tarikh hari pertama sesi persidangan Dun Selangor adalah pada 21 Jun 2013 iaitu selepas pilihan raya umum ke-13 pada 2013.

“Berkaitan keperluan mengadakan PRK bagi kerusi Dun ini, ia akan dimaklumkan kelak oleh SPR selepas menerima pemakluman rasmi daripada YB Speaker DUN Selangor selaras dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri tersebut,” katanya.

 

TAGS