Malaysia Dateline

Mohd Hashim Abdullah SPR

SPR: Minimum 11 hari kempen pilihan raya

Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan dipetik berkata kempen pilihan raya  selama 11 hari adalah waktu minimum untuk berkempen dan pihaknya akan mengkaji kepentingan sama ada ini perlu dilanjutkan pada pilihan raya umum ke-14 kali ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  itu berkata, demikian, ketika  menjadi tetamu di Program Ruang Bicara, Bernama News Channel, malam tadi.

Ia susulan  kenyataan dibuat  oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, semalam, di Dewan Rakyat yang  mencadangkan kepada SPR agar diadakan kempen selama 21 hari bagi menghadapi PRU14 kali ini.  Cadangan itu dibuat bagi tujuan mendekati pengundi yang bertambah pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Mohd Hashim berkata, pihaknya akan dapat mengendalikan perjalanan PRU dengan cara terbaik, telus, ikhlas dan bersih mengikut peraturan undang-undang yang ditetapkan.

Beliau menegaskan bahawa SPR adalah institusi bebas dan tidak menerima arahan daripada mana-mana pihak.

Kesiapsiagaan petugas-petugas SPR di seluruh negara kini berada di tahap 100 peratus bagi memastikan kelancaran perjalanan proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Kesiapsiagaan itu meliputi tenaga kerja dan logisitik kelengkapan yang diperlukan selain diperkuatkan dengan latihan, kursus dan penerangan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab masing-masing yang dilakukan sejak dua tahun lepas. termasuk persiapkan petugas-petugas di tempat mengundi dan pengiraan undi di seluruh negara.

Beliau berkata dijangkakan seramai 250,000 petugas melibatkan SPR dan anggota keselamatan serta pertahanan negara akan terlibat dalam PRU kali ini.

Mohd Hashim berkata pihaknya juga telah bersiap siaga dari segi kelengkapan untuk PRU14 ini termasuk dari segi kemudahan lebih selesa kepada orang kelainan upaya (OKU) seperti memberi bantuan ke tempat mengundi, kemudahan kerusi roda bagi pemilih uzur atau kurang upaya.

Menyentuh mengenai bekalan dakwat kekal, beliau berkata ia telah ditempah awal dan hanya menunggu detik PRU14 sebelum dihantar pembekal untuk digunakan.