Malaysia Dateline

SPR minta calon patuh peraturan kempen terutama program Walkabout

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan calon bertanding untuk mematuhi peraturan berkempen terutama berkaitan dengan Program Walkabout yang diadakan oleh semua calon atau parti yang bertanding.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, perjumpaan pegawai SPR (STEC) telah diadakan semalam bersama Ketua Polis Daerah Pontian yang bertujuan memperjelaskan isu berkaitan permit dan peraturan berkempen.

Katanya, hasil perbincangan tersebut, pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) meminta supaya calon dan parti terlibat dalam kempen mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

“Semua parti atau calon terlibat diingatkan untuk mematuhi syarat permit yang telah ditetapkan. Program walkabout yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

“Bagi kempen yang dibuat dari rumah ke rumah, perlu juga mendapat permit dari PDRM kerana ia juga merupakan suatu bentuk berkempen,” katanya.

Malah katanya, bahan kempen yang berunsurkan hasutan dan provokasi akan diturunkan serta merta termasuk bahan kempen yang tidak memaparkan nama dan alamat penerbit dan pencetak.

Beliau berkata, mana-mana bendera yang dikibar atau digantung di tepi jalan yang boleh menggangu penglihatan dan berbahaya pada orang ramai akan diturunkan.

“Mana -mana bendera dikibar atau digantung pada kenderaan berkempen yang berbahaya kepada orang ramai juga akan diambil tindakan sewajarnya.

“Kenderaan yang digunakan untuk berkempen yang dipasang dengan bendera dan alat pembesar suara serta bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi hendaklah memohon permit berkempen daripada pihak PDRM.

“Kenderaan bergerak yang digunakan untuk berkempen ini hendaklah menutup suara dan sebarang rakaman kempen semasa bergerak dan hanya membukanya apabila kenderaan berhenti di lokasi berkempen yang bersesuaian serta tidak menghalang lalu lintas,” ujarnya.

Tambah Azhar, SPR akan melaporkan maklumat berkaitan statistik kesalahan serta statistik bilangan laporan polis dan laporan SPRM yang dibuat sepanjang tempoh berkempen pada laman web SPR, serta Facebook dan twitter SPR setiap hari sepanjang tempoh pilihan raya kecil ini.

SPR dengan itu berharap semua calon dan parti akan berkempen dengan lebih matang sepanjang tempoh berkempen yang berbaki lima hari lagi serta mematuhi peraturan berkempen agar PRK Tanjung Piai berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.