SPR mohon parti calonkan puteri Thailand sebagai PM dibubar

SPR mohon parti calonkan puteri Thailand sebagai PM dibubar

Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand (SPR) akan meminta Mahkamah Perlembagaan untuk mempertimbang pembubaran Parti Thai Raksa Chart (TRC), yang menamakan Puteri Ubolratana sebagai calonnya bagi merebut jawatan perdana menteri, lapor Agensi Berita Thailand memetik kenyataan suruhanjaya itu.

SPR Thailand telah membuat keputusan sebulat suara untuk meminta Mahkamah Perlembagaan membatalkan TRC atas alasan tindakan parti itu mencalonkan Puteri Ubolratana pada 8 Feb boleh mengancam dan mencemarkan sistem monarki berperlembagaan.

Kenyataan itu menyebut keputusan SPR Thailand dibuat berdasarkan Seksyen 92 Akta Parti Politik dan agensi tersebut menugaskan ketua setiausahanya, Jarungwit Phumma, dalam kapasiti beliau sebagai pendaftar parti politik, untuk memfailkan permohonan kepada Mahkamah Perlembagaan dan mewakili SPR pada perbicaraan.

Thailand akan mengadakan pilihan raya umum pada 24 Mac.

SPR Thailand pada Isnin telah menggugurkan nama Puteri Ubolratana daripada senarai rasmi calon bagi merebut jawatan perdana menteri.

SPR berkata anggota keluarga diraja tidak seharusnya terlibat dalam politik, mengulangi teguran keras Raja Maha Vajiralongkorn, adik lelaki Puteri Ubolratana, bahawa pencalonan beliau adalah “tidak sesuai” dan tidak berperlembagaan.

Terdahulu, TRC meminta SPR agar membenarkan parti itu menjelaskan mengapa ia menamakan Puteri Ubolratana sebagai calon perdana menterinya sebelum membuat permohonan untuk membubarkan TRC.

Surachai Chinchai, anggota yang menjaga hal ehwal perundangan TRC, telah menghantar surat kepada pengerusi SPR Thailand pada pukul 9 pagi di pejabatnya.

Beliau meminta SPR Thailand mematuhi peraturan undang-undang dalam menangani kes itu dan menyoal partinya terlebih dahulu.

“Satu keputusan yang tergesa-gesa sebelum pilihan raya membawa maksud Parti Thai Raksa Chart akan dikecualikan daripada pertandingan sebelum pengundian. Ini adalah seperti satu hukuman sebelum hari pengundian pada 24 Mac.

“Dalam satu pertandingan sukan, seorang atlet didenda selepas dikalahkan. Dia tidak sepatutnya dihukum,” kata Surachai.

— BERNAMA