Malaysia Dateline

SPR nafi dakwaan PRN Perak akan diadakan

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini menafikan dakwaan bahawa SPR sedang mengambil tindakan untuk mengadakan pilihan raya di Negeri Perak seperti mana yang telah dilaporkan oleh media atas talian dan media sosial sejak semalam.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata, laporan yang mengatakan terdapat surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak berhubung kelulusan dalam mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah yang dijadikan sebagai pusat mengundi, sebenarnya, merupakan urusan semakan yang dijalankan oleh SPR dari masa ke semasa.

” Urusan ini sedang berjalan di semua negeri seluruh Malaysia sejak Disember 2018 bagi tujuan melihat kesesuaian pusat mengundi sedia ada.

“Ini adalah untuk memastikan jumlah pengundi di sesebuah pusat mengundi tidak terlalu ramai. Pelaksanaan urusan ini adalah selaras dengan Seksyen 7(2) Akta Pilihan Raya 1958,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu SPR menasihati agar pihak media atau orang ramai agar dapat merujuk kepada pihak SPR terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian sebelum menyiarkan sebarang berita berhubung urusan pilihan raya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang tidak sewajarnya kepada pihak awam.

Semalam tular PRN Perak akan diadakan tidak lama lagi berikutan dakwaan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada DAP keluar parti dan menjadi Bebas adalah tidak benar.

Perkara itu turut dinafikan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Naib Pengerusi DAP Perak Abdul Aziz Bari   yang dipetik berkata tidak ada alasan untuk membubarkan Dun Perak pada ketika ini.

Tular surat yang dicop ‘diterima’ pada tarikh semalam oleh Sekolah Kebangsaan Sungai Dulang Dalam, Sungai Sumun, Bagan Datuk menyatakan lawatan dijadual pada 1 September  lepas hingga 30 November bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.