Malaysia Dateline

SPR pamer Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat Tahun 2019

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menerima sebanyak 27,345 permohonan pendaftaran pemilih baru daripada warganegara yang layak sepanjang tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Keempat Tahun 2019 (ST4/2019).

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata, dalam suku sama juga SPR menerima seramai 11,869 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar.

Beliau berkata, selaras dengan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi ST4/2019 akan dipamerkan selama 14 hari.

“RDPT bagi suku tahun keempat akan bermula dari 30 Januari hingga 12 Februari 2020 di 914 tempat-tempat pameran di seluruh negara.

“Pemohon yang telah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 Oktober 2019 hingga 31 Disember 2019 dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam Rang DPT ST4/2019.

“Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam Rang DPT ST4/2019, mereka boleh membuat TUNTUTAN melalui Borang B,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Azhar, bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana individu di dalam Rang DPT ST4/2019 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian, dengan mengisi Borang C.

Jelasnya, tuntutan atau bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran Rang DPT itu diadakan.

Semasa tempoh Pameran Rang DPT ST4/2019, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.

“Antara asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada daftar pemilih kerana mereka ini telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“Bagi pegawai dan anggota polis dan tentera yang telah tamat perkhidmatan pula, SPR bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengemaskini maklumat lokaliti pengundian mereka dari lokaliti polis dan tentera ke lokaliti awam dengan mengekalkan bahagian Pilihan Raya Parlimen dan DUN sedia ada masing-masing,” katanya.

Katanya lagi, tindakan pengemaskinian ini bagi memastikan mereka akan mengundi sebagai pengundi biasa dan bukan lagi sebagai pengundi awal kleh kerana mereka telah menamatkan perkhidmatan polis atau tentera.

Jumlah yang terlibat ialah seramai 1,354 orang yang terdiri daripada 663 orang pesara tentera, 12 orang pasangan pesara tentera dan 679 pesara polis.

Semua nama pesara tentera dan polis serta pasangan ini juga dipamerkan semasa Pameran Rang DPT kali ini.

“Sehubungan dengan itu, SPR menyeru kepada semua pemohon yang telah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baru dan pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 Oktober 2019 hingga 31 Disember 2019 supaya membuat semakan nama mereka di tempat-tempat yang diwartakan,” katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai pameran Rang DPT ST4/2019 boleh menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Pemohon juga boleh melayari portal SPR di www.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT ST4/2019.