SPR patut berterima kasih bukan kenakan caj RM10

SPR patut berterima kasih bukan kenakan caj RM10

 

Pemuda Amanah Perak menggesa transformasi secara menyeluruh ke atas pentadbiran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya benar-benar adil dan fokus melaksanakan tanggungjawab.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain berkata, pelbagai syarat yang dikuatkuasakan langsung tidak mesra parti politik seolah-olah disengajakan bagi mencapai agenda tertentu.

Ini termasuklah, ujarnya, caj sebanyak RM10 bagi setiap tuntutan semakan pengundi yang meragukan.

“Tindakan tersebut sangat membebankan pelbagai pihak khususnya parti-parti politik yang bertungkus-lumus mengenal pasti pengundi yang meragukan.

“Sewajarnya, SPR meraikan mana-mana pihak yang berusaha untuk membasmi pengundi-pengundi yang meragukan khususnya pengundi hantu dalam negara ini.

“Caj sebanyak RM10 mempunyai agenda negatif bagi ‘mendidik’ masyarakat agar tidak mengambil perhatian terhadap perkara ini,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau berkata, parti-parti komponen Pakatan Harapan pada masa ini giat mencari dan menyiasat pengundi ragu memandangkan kewujudan pengundi itu antara faktor yang menghalang kemenangan pihak pembangkang sebelum ini.

“SPR sepatutnya berterima kasih kepada kami yang menjalankan tugas yang sepatutnya dilaksanakan SPR, bukannya mengenakan bayaran serta melaksanakan syarat-syarat sukar seperti ini,” tegasnya.

Mengulas keputusan SPR memberhentikan pengedaran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun kepada parti-parti politik, Hasnul berkata, arahan itu menyukarkan pihak Pakatan Harapan untuk melakukan semakan.

“Tindakan tersebut adalah sangat tidak wajar kerana ia menyukarkan parti politik untuk memantau dan memastikan senarai daftar pemilih adalah bersih,” ujarnya.

Menurutnya, orang awam tidak boleh membuat bantahan dan cabaran terhadap RDPT sebaik sahaja daftar pemilih diwartakan di bawah Seksyen 9A Akta Pilihan Raya.

“Arahan tersebut telah menyebabkan kami terpaksa ‘merempat’ di kaki lima pejabat SPR untuk menyemak dan menyalin RDPT tersebut secara manual.

“Dalam era serba moden ini, sepatutnya SPR melaksanakan kaedah yang lebih efisien dan mesra pengguna, bukannya melaksanakan kaedah terkebelakang hingga menjejaskan proses demokrasi dalam negara ini.

“Tugas SPR memudahkan bukan merumitkan. Kami tidak faham, bagaimana SPR boleh melaksanakan sistem yang sangat pincang seperti ini,” tambah Hasnul lagi.

 

COMMENTS

Wordpress (0)