Malaysia Dateline

SPR patut desak kerajaan percepatkan Akta Pembiayaan Politik, kata Presiden Transparency

Parti-parti politik di negara ini baik daripada Pakatan Harapan mahupun pembangkang masih berdolak-dalih untuk melaksanakan Akta Pembiayaan Politik.

Kerana kurangnya komitmen itu, Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Sattar cadangkan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) mendesak kerajaan untuk mempercepatkan proses penggubalan dan pelaksanaan akta itu.

Dengan adanya akta ini, SPR akan lebih mudah mengambil tindakan sekiranya berlaku salah laku pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Datuk Akhbar Satar
Datuk Akhbar Satar

“Walaupun sudah ada Akta Kesalahan Pilihan raya, namun ianya tidak memperuntukkan dengan jelas kesalahan yang berkaitan dengan pembiayaan dana parti politik,” tegas Akhbar ketika ditemui wartawan selepas temu bual dalam program Komen Pagi di Astro AWANI hari ini.

Oktober lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata kerajaan berharap akta itu akan dibentangkan dalam sidang Parlimen yang lepas walaupun mengatakan tiada kerangka masa dapat diberikan mengenai proses penggubalan akta itu.

Menurut Akhbar, kerana tiadanya garis panduan yang jelas, maka wujud interpretasi berlakunya salah laku kuasa dan rasuah apabila sesebuah parti politik menjalankan aktiviti untuk menambah dana parti.

“Malaysia boleh mencontohi kerajaan Jerman yang memberikan peruntukan kepada semua parti-parti politik untuk menjalankan aktiviti politik,” tambah beliau

Isu pembiayaan dana politik kembali menjadi perbualan selepas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh menegaskan wang kerajaan tidak seharusnya digunakan untuk membiayai aktiviti parti politik.

Hannah memberikan reaksi tidak bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Abd Rashid Abdul Rahman berhubung isu pemberian kontrak.

Mengulas mengenai isu ini, Akhbar mengingatkan yang kontrak-kontrak kerajaan ini melibatkan wang negara yang sepatutnya diberikan pada pihak yang memiliki kewibawaan.

“Kena jaga kualiti kontrak yang diberikan, kalau tiada wibawa, nanti projek itu ada masalah. Kita tak mahu lagi dengar cerita jambatan atau bangunan runtuh bila dibina dengan kualiti rendah,” akhiri beliau.