SPR perlu ambil kira tempoh waktu sebelum letak syarat tambahan bahan kempen

SPR perlu ambil kira tempoh waktu sebelum letak syarat tambahan bahan kempen

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah perlu mengambil kira tempoh waktu mengundi yang begitu dekat apabila beliau mengumumkan keperluan tambahan pada bahan kempen untuk pilihan raya umum akan datang.

Kata beliau, dalam masa hanya tiga hari untuk hari penamaan calon dan lagi dua minggu untuk mengundi pada 9 Mei, sehingga sekarang, kebanyakan bahan kempen sudah siap dicetak dan disediakan dan hanya menanti masa untuk dipasang.

“Contoh terbaik ialah papan iklan yang dipasang oleh Menteri Wilayah Persekutuan sementara, Tengku Adnan Mansor di Kuala Lumpur dan di Putrajaya, malah sebelum hari penamaan calon.

“Beliau bukanlah Presiden atau Timbalan Presiden mana-mana parti politik yang diwakilinya,” kata peguam DAP itu dalam kenyataannya hari ini.

Apakah Mohd Hashim berani menurunkan papan iklan Tengku Adnan sebelum hari penamaan calon? soal beliau.

“Apa yang saya nampak, ini semua tidak lain melainkan SPR cuba menghalang penggunaan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad pada semua bahan kempen.

“SPR tidak perlu kata terdapat banyak syarat – katakan saja “Tidak boleh ada gambar Tun Dr Mahathir!”.

“Apa yang SPR takut sangat,” kata beliau.