SPR perlu kekalkan tempoh minima kempen 14 atau 21 hari, bukan 11 hari

SPR perlu kekalkan tempoh minima  kempen 14 atau 21 hari,  bukan 11 hari

Hamzah Abdullah

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sabah mengesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan tempoh kempen selama 14 hari seperti Pilihan Raya Umum ke-13 lalu atau melaksanakan cadangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk melanjutkan tempoh masa berkempen kepada minima 21 hari.

Pengerusinya Hamzah Abdullah berkata, SPR sepatutnya memahami halangan-halangan yang dihadapi parti-parti politik khususnya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Katanya Sabah merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia dengan 25 kawasan Parlimen dan 60 Dun.

“Keluasan setiap Dun di Sabah pula sangat besar dan jaraknya sangat jauh berbanding di Semenanjung Malaysia. Maka, kempen pilihan raya sudah tentu memerlukan tempoh masa yang lama disebabkan kawasan Dun dan Parlimen yang luas,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan disiarkan Malaysia Dateline yang memetik kenyataan Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam satu temubual dengan Bernama News Channel, dipetik berkata, tempoh 11 hari adalah minima untuk parti berkempen.

Ia susulan menjawab cadangan di Dewan Rakyat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri wan Azizah Wan Ismail pada Rabu untuk memanjangkan tempoh berkempen kepada 21 hari.

Hamzah yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Sabah berkata, bentuk muka bumi dan infrastruktur di Sabah adalah menyukarkan kerja-kerja kempen pilihan raya sekiranya masa kempen disingkatkan.

“Bahkan, dibeberapa Dun seperti DUun N1 Banggi, jentera pilihan raya perlu menaiki bot untuk sampai di kawasan Dun tersebut.

“Maka, adalah tidak relevan sekiranya SPR mahu memendekkan tempoh masa berkempen. Bahkan di kawasan pedalaman seperti Dun Sook, keluasannya mungkin hampir sama besarnya dengan negeri Selangor.

“Selain itu, pada PRU 13, tempoh masa berkempen adalah selama 14 hari selepas parlimen dibubarkan. Tempoh masa 14 hari pun sebenarnya tidak mencukupi untuk rakyat membuat penilaian yang bijak terhadap manifesto-manifesto yang dibawakan oleh setiap parti yang bertanding.

“Lebih-lebih lagi di Sabah, terdapat banyak parti politik dengan pelbagai manifesto yang dibawakan kepada para pengundi. Maka, rakyat pastinya memerlukan masa yang mencukupi untuk menilai dan membuat pilihan yang bijak pada hari mengundi,” ujarnya.

Beliau menegaskan lagi, gesaan untuk melanjutkan tempoh masa berkempen ini tidak hanya dibentangkan oleh parti-parti politik pembangkang, bahkan turut disuarakan dan disokong oleh gerakan massa seperti BERSIH 2.0 yang menuntut tempoh masa berkempen dilanjutkan sehingga 21 hari.

Bahkan ujarnya lagi, negara yang kecil seperti Singapura pada 2011 pernah memperuntukkan masa berkempen selama lebih 20 hari.
“Itu sebuah negara yang maju dengan capaian kepada internet yang lebih cekap jika nak dibandingkan dengan Malaysia.” ujarnya.

Baca: SPR:  Minimum 11 hari  kempen pilihan raya

Baca: Ketua Pembangkang cadangan SPR tetapkan tempoh kempen 21 hari

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote